Monday, August 18, 2008

TIDAK ADA KONTRAK SOSIAL MALAYSIAN MALAYSIA

Oleh ZAM

PENASIHAT DAP Lim Kit Siang berprasangka laporan Bernama mengenai ucapan Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa di Perhimpunan Pemuda Pas di Ipoh baru-baru ini yang mengatakan DAP anti Islam adalah misreporting atau salah lapor. Sehingga kini tidak ada penafian daripada Nasharuddin.

Sikap Lim Kit Siang dan Anwar Ibrahim sama sahaja, jika sesuatu laporan itu tidak memihak mereka, maka mereka akan mengatakan diputar belit, salah dan sebagainya. Pengikut-pengikut fanatik mereka akan terus percaya.

Bagaimanapun, oleh kerana hingga hari ini tidak ada penafian daripada Nasharuddin maka kita boleh terima laporan itu sebagai benar.

Untuk membersihkan diri daripada anggapan anti Islam itu, Kit Siang menjelaskan dalam blognya bahawa apa yang ditentangnya ialah penyelewengan terhadap kontrak sosial negara bermasyarakat majmuk, pelbagai agama, demokratik dan sekular.

Dia tidak anti Islam, dia menerima Islam sebagai agama rasmi tetapi bukan Malaysia sebagai negara Islam.

Siapakah sebenarnya yang tidak menghormati kontrak sosial, siapakah yang mahu menggunakan papan tanda jalan bahasa Mandarin di Pulau Pinang, siapa mahu menghapuskan Dasar Ekonomi Baru (DEB)? Siapa tidak mahu memakai songkok hitam di majlis rasmi diraja dan siapakah yang menyokong perbahasan terbuka atas perkara-perkara sensitif di bawah Akta Hasutan?

Yang perlu dijelaskan oleh Kit Siang ialah apakah beliau menerima kedudukan layanan istimewa terhadap orang Islam (Melayu) yang sesuai dan dikehendaki dari segi taraf kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara yang tentunya lebih istimewa tarafnya daripada agama-agama lain di negara ini?

Jika Kit Siang menerima kedudukan Islam sebagai agama rasmi maka mengapa beliau menyokong Majlis Peguam mengadakan perbincangan bidang kuasa mahkamah syariah secara terbuka?

Cakap Kit Siang sama macam cakap 'bapa angkatnya' Lee Kuan Yew. Semasa Singapura dalam Malaysia dahulu dia berkali kali menyatakan penerimaan terhadap hak istimewa orang Melayu tetapi yang tidak dipersetujuinya ialah ketidakadilan dalam pelaksanaannya dalam kalangan masyarakat Melayu.

Harus diingatkan di samping kelemahan dan ketirisannya, dasar itulah yang telah mengupayakan orang Melayu menjalankan universiti sendiri, membuka hospital sendiri, mengendalikan bank-bank dan institusi kewangan yang berjaya dan yang melahirkan profesional Melayu.

Dalam tiap sistem ada kebocorannya tetapi di Malaysia kedudukan Islam sebagai agama rasmi dan juga kedudukan hak istimewa orang Melayu telah menaikan taraf dan maruah Islam dan Melayu di negara ini dan di mata dunia, di samping tidak merugikan masyarakat bukan Melayu.
Ini semua membuktikan bahawa dasar kerajaan Malaysia selama ini terutama dasar Islam dan DEB telah menjadi diskriminasi konstruktif yang menyumbang kepada kestabilan negara dan membolehkan orang bukan Melayu hidup selamat di samping orang Melayu.

Kit Siang tidak anti Islam tetapi dia anti keistimewaan status agama Islam di negara ini yang secara langsung memberikan kelebihan taraf kepada orang Melayu sebagai orang Islam. Namun demikian orang Melayu tidak lupa daratan, tidak mendirikan masjid atau surau di mana-mana tanpa izin daripada pihak yang berkuasa.

Kedudukan Islam memang sebagai agama rasmi negara dan tidak termaktub dalam Perlembagaan bahawa Malaysia Negara Islam.

Namun hakikatnya negara Islam lain di dunia memang memandang Malaysia sebagai 'Negara Islam Contoh' kerana pemodenan dan kemajuannya sekalipun tidak mengamalkan undang-undang Islam yang menggerunkan DAP. Kit Siang menyedari hakikat ini.

Lebih daripada itu kerajaan pimpinan orang Islam di Malaysia dapat mendirikan sebuah bandar bercirikan Islam yang melambangkan kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara yang meyakinkan pelawat bahawa Malaysia negara Islam.

Kit Siang tidak senang dengan pencapaian ini kerana ia menampakkan ketidak samarataan seperti yang dihasratkan oleh semangat Malaysian Malaysia. Kelebihan taraf Islam di Malaysia menampakkan kelebihan Melayu.

Maka itu dari segi perlembagaan, tafsiran Nasaruddin bahawa DAP anti Islam adalah benar. Perisytiharan Kit Siang bahawa dia tidak anti Islam sebaliknya menentang pengkhianatan terhadap kontrak sosial adalah suatu percubaan untuk menutup warnanya di sebalik sehelai lalang.

Kontrak sosial yang tidak dihormati yang dimaksudkan oleh Kit Siang ialah kontrak sosial Malaysian Malaysia yang cuba dibawa dari Singapura pada tahun I965 dan bukan kontrak sosial yang dipersetujui bersama oleh rakyat Malaya ketika hendak mencapai kemerdekaan lebih 50 tahun dahulu.

No comments: