Tuesday, May 27, 2008

Sunday, May 25, 2008

KENAIKAN HARGA BARANG

Oleh Aspirasi Bangsa

Impak Krisis Makanan

Kenaikan mendadak harga makanan menyebabkan berjuta penduduk berada dalam kelaparan dan ketidakstabilan politik. Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menganggarkan lebih 100 juta orang tidak mampu membeli makanan. Tekanan kenaikan harga makanan itu juga boleh menyebabkan rusuhan dan peperangan berlaku. Hingga kini, Haiti, Tahiti, Mesir, Ivory Coast dan Filipina menghadapi suasana runcing ekoran rakyatnya mendesak supaya pemimpin meletakkan jawatan, mengambil langkah drastik menangani krisis makanan.

Punca Krisis Makanan

Krisis makanan berkait rapat dengan kenaikan harga minyak yang diniagakan dalam pasaran hadapan. Sebagai komoditi utama, minyak menjadi bahan spekulasi oleh negara-negara maju sehingga menyebabkan sebahagiannya berfikir untuk beralih kepada bahan bakar yang mesra alam. Bijirin dikenal pasti sebagai bahan mentah yang berpotensi untuk dimajukan sebagai bahan api bio yang mesra alam. Kesan daripada kesedaran tersebut menyebabkan Amerika Syarikat menetapkan sasaran pada tahun 2012, menggunakan 7.5 bilion gelen biodiesel berbanding pada tahun 2006 enam bilion gelen. Para pelobi etanol dijangka terus mendesak supaya meningkatkan penggunaan kepada 12 bilion gelen pada tahun 2010 dan 35 bilion gelen pada tahun 2017. Peningkatan ini menyebabkan berlakunya persaingan terhadap harga bijirin termasuk jagung, gandum, kelapa sawit, tebu dan terakhir ialah beras. Sebanyak 30 peratus bijirin yang dihasilkan disalurkan untuk menghasilkan bahan api bio. Amerika Syarikat memberikan subsidi yang besar kepada petaninya yang menghasilkan bijirin dan menjualnya kepada pengilang etanol.

Kesan/Punca Kenaikan Harga Bijirin

Persaingan harga bijirin untuk digunakan sebagai etanol telah menyebabkan masyarakat dunia mengubah tabiat mengambil makanan rujinya. Mereka yang menggunakan gandum, soya dan jagung beralih kepada beras memandangkan harga lebih murah berbanding bijirin lain. Keadaan ini menyebabkan berlakunya pembelian panik dalam kalangan masyarakat dunia dan seterusnya membawa kepada manipulasi pasaran oleh peniaga. Dengan bersandarkan alasan peningkatan permintaan oleh China dan India disebabkan kepesatan pertumbuhan ekonomi menjadikan mereka lebih banyak memerlukan makanan, perubahan iklim global menyebabkan kekurangan pengeluaran, larangan dan pengurangan eksport oleh negara pengeluar telah memberikan tekanan harga ke atas beras dunia.


KENAIKAN HARGA BERAS

Kadar Purata Penggunaan Beras Sehari Bagi Seorang Individu;
Bekalan Beras Dunia Mencukupi
Beras merupakan makanan ruji kepada lebih tiga suku penduduk dunia yang dianggarkan 6.6 bilion (sehingga Mei 2008). Berdasarkan statistik pengeluaran beras, sebanyak 422.9 juta tan metrik berjaya dituai pada akhir musim 2007/2008 (sehingga Mac 2008) berbanding 418.2 juta tan pada akhir musim 2006/2007. Ini bermakna, kadar purata penggunaan beras ialah sebanyak 234 gram sehari bagi seorang individu (bersamaan secawan atau 16 sudu besar beras). Dari segi pengeluaran beras dunia, terdapat peningkatan sebanyak 1 peratus, iaitu 4.7 juta tan. Bagaimanapun dari segi pola penggunaan beras sedunia juga menunjukkan peningkatan dari 420 juta tan pada sesi 2006/2007 kepada 422.5 juta tan pada sesi 2007/2008 (berakhir Mac 2008). Jika dilihat dari perspektif pengeluaran dan penggunaan, tidak berlaku pengurangan bekalan beras dunia, malah mempunyai lebihan sebanyak 410,000 tan.

Kesan Kenaikan Harga Berganda Dalam Tempoh 4 Bulan

Kenaikan harga beras mula memuncak sejak Januari 2008 apabila harga beras gred B Thailand (dijadikan sebagai tanda aras harga beras dunia) meningkat dari USD$383 (RM1,206) pada bulan Januari 2008 kepada USD$1,100 (RM3,498) pada 5 April 2008 (iaitu kenaikan harga hampir 3 kali ganda dalam masa 4 bulan). Lonjakan kenaikan harga turut berlaku kepada beberapa jenis beras yang lain termasuk Beras Putih Vietnam 5% dari USD$352 (RM1,120) kepada USD$1,100 (RM3,498) - (lebih 3 kali ganda), Beras Putih Thai 5% dari USD$371 (RM1,180) kepada USD$1,100 (RM3,498) - (hampir 3 kali ganda), Beras Wangi Thai USD$645 (RM2,051) kepada USD$1,150 (RM3,657) - (hampir 1.8 kali ganda), Beras Pulut USD$581 (RM1,848) kepada USD$850 (RM2,703) - (hampir 1.5 kali ganda) dan Beras Basmathi (Pakistan) dari USD$810 (RM2,576) ke USD$1,470 (RM4,675) - (lebih 1.8 kali ganda). Peningkatan harga antara 46 peratus hingga melebihi dua kali ganda ini menyebabkan negara-negara pengeluar terutamanya Vietnam, Kemboja, Laos, Myanmar, India, USA dan Brazil melarang pengeksportannya bagi menjamin bekalan makanan untuk penduduknya mencukupi. Thailand yang merupakan negara pengeksport terbesar (32 peratus) mengehadkan jumlah eksport bagi membendung kekurangan bekalan domestik di samping menjamin tidak berlakunya rusuhan.

Sistem Kartel

Thailand mencadangkan agar negara pengeluar beras membentuk sistem kartel (iaitu persetujuan bersama pengeluar bagi meningkatkan keuntungan dengan mengurangkan persaingan) bagi menentukan harga beras dunia dan bukannya bergantung kepada harga pasaran yang sentiasa terdedah dengan spekulasi. Walaupun belum melarang pengeksportan beras, Thailand bercadang untuk mengurangkan campur tangan kerajaan dalam rundingan pembelian beras. Syarikat-syarikat pengeluar beras diberikan galakan dan kebebasan untuk berunding dengan bakal pembeli berdasarkan harga yang dipersetujui.
Kesengsaraan Rakyat Filipina Dan Bangladesh

Filipina yang menghasilkan beras sebanyak 10.4 juta tan hanya mampu menampung penggunaan domestik sebanyak 90 peratus manakala bakinya sebanyak 10% (1.66 juta tan) diimport. Disebabkan masalah kekurangan tanah yang sesuai untuk tanaman padi, bencana alam dan kenaikan harga beras telah menyebabkan rakyatnya membantah dan mendesak supaya Presiden Arroyo Macapagal meletakkan jawatan. Bangladesh yang menghadapi masalah bencana pada tahun lepas menyebabkan hampir 140 juta penduduknya hidup di bawah paras kemiskinan tidak mampu membeli makanan. Mereka membanjiri kawasan pembuangan sampah untuk mengutip 500 tan beras rosak yang dilupuskan sejak 2 Mei lalu. Beras tersebut merupakan sumbangan Pakistan kepada mangsa Taufan Sidr tetapi didapati rosak semasa dalam perjalanan dengan kapal sejak Januari lalu.

Energy Independence Act 2007

Kesan kepada pelobi alam sekitar yang mendesak supaya menggunakan sumber tenaga mesra alam menyebabkan Amerika Syarikat meluluskan Energy Independence Act 2007 pada tahun lalu. Akta tersebut meletakkan sasaran bahawa menjelang tahun 2022, sebanyak 16 bilion gelen bahan api bio dihasilkan dan menyebabkan petani-petani menggiatkan usaha menanam bijirin untuk tujuan tersebut. Dari segi ekonomi ia menyebabkan harga bijirin seperti jagung, kacang soya, gandum dan barli meningkat secara mendadak dan menyebabkan rakyatnya beralih kepada penggunaan beras sebagai makanan ruji. Amerika Syarikat juga turut menambahkan bekalan domestik berasnya dengan melarang eksport dan mengimportnya sebagai langkah strategik mengurangkan tekanan terlalu bergantung kepada petrol.

Manipulasi Dan Desakan Pengeluaran Etanol Dipertingkatkan

Peningkatan harga beras juga ada kaitan dengan manipulasi yang dibuat oleh kapitalis, terutamanya pelobi Amerika Syarikat. Pengilang etanol mendesak supaya penggunaan sumber tenaga itu terus dipertingkatkan melampaui sasaran, kerana lebih murah dan tidak mencemarkan alam sekitar. Tekanan pelobi ini menyebabkan permintaan terhadap beras meningkat dan berlakunya pembelian panik di kalangan sesetengah penduduknya. Penyebaran maklumat pembelian panik turut memberikan tekanan kepada negara-negara lain sehingga mencetuskan krisis global. Walau bagaimanapun, bagi menggambarkan kekurangan bekalan, Presiden George W. Bush menyalahkan India dan China kerana membuat permintaan yang tinggi disebabkan kepesatan pertumbuhan ekonominya. Disebabkan pertumbuhan ekonomi yang pesat, rakyat kedua-dua mempunyai banyak wang dan seterusnya meningkatkan permintaan terhadap bahan makanan. Bagi melindungi kesilapan tanggapan tersebut, Presiden George W.Bush mengumumkan dana krisis makanan dunia sebanyak USD$770 juta (RM2.5 bilion) bagi menyokong program bantuan dan pembangunan makanan dunia.


KENAIKAN HARGA BERAS DI MALAYSIA

Pengusaha Makanan Beralih Daripada Beras Hancur Kepada Beras Tempatan Super 15 Yang Lebih Murah Kerana Harganya Dikawal Oleh Kerajaan
Kenaikan beras di Malaysia mula berlaku sejak pertengahan Januari lalu apabila pihak pembuat makanan mendedahkan harga setan beras hancur meningkat kepada RM2,000 setan berbanding sebelumnya RM650 (iaitu lebih 3 kali ganda). Beras tersebut digunakan untuk membuat mi, mihun, kue tiau dan sebagainya. Apabila berlakunya kenaikan harga beras hancur, para pembuat makanan tersebut beralih kepada Beras Tempatan Super 15 (15% hancur) yang lebih murah. Harga Beras Super Tempatan 15 (ST15) dikawal oleh kerajaan dan ditetapkan antara RM1.65 hingga RM1.80 sekilogram. Dengan menggunakan beras ST15, pengusaha dapat menjimatkan kos bahan sebanyak RM200 hingga RM350 setiap tan yang digunakan. Ini menyebabkan pembelian yang tinggi terhadap beras ST15 memberikan tekanan kepada harga ke atas beras-beras yang lain (Beras Tempatan Super 10 dan Beras Tempatan Super 5) dan bekalan. Harga Beras Tempatan Super 10 (10% hancur) atau ST10, Tempatan Super 5 (hancur 5%) atau ST5 dan lain-lain tidak dikawal oleh kerajaan.

Pembungkusan Semula ST15 Kepada ST10 Dan ST5 Untuk Dijual Bagi Mengaut Keuntungan
Apabila harga beras ST10, ST5 dan lain-lain tidak dikawal, para pemborong dan peruncit bebas menetapkan harga menyebabkan berlakunya kegiatan salah di kalangan mereka. ST15 dibeli dengan banyaknya dan kemudian dibungkus kembali sebagai gred ST10 atau ST5. Dengan cara ini mereka boleh membolot keuntungan yang besar. ST10 dijual antara RM2 hingga RM2.40 sekilogram manakala ST5 dijual sehingga RM3.40 sekilogram. Melalui pembungkusan semula ini pemborong dan peruncit memperoleh keuntungan yang besar iaitu antara RM350 hingga RM1,200 bagi setiap tan (atau RM3.50 hingga RM12 bagi setiap 10 kilogram).

Harga Beras Di Malaysia Lebih Murah Berbanding Negara Jiran

Harga beras di Malaysia masih lagi murah berbanding dengan lain-lain negara termasuk Thailand. Harga beras ST5 di Malaysia adalah antara RM2 hingga RM2.50 sekilogram manakala di Thailand ialah RM3.50 hingga RM3.80. Harga di Singapura ialah RM5 sekilogram. Harga yang mahal di negara jiran menyebabkan berlakunya penyeludupan beras, terutamanya beras ST15. Keadaan ini menyebabkan berlakunya kekurangan bekalan di pasaran sehingga memaksa Bernas memasuki pasaran runcit bagi membantu golongan miskin. Penggunaan beras ST15 hanyalah 10 peratus sebelum ini, tetapi disebabkan oleh kegiatan tersebut menyebabkan berlakunya pembelian panik terhadap semua jenis beras. Ini memberikan tekanan kepada harga.

Pengeluaran Beras ST15 Ditingkatkan Daripada 11,000 Kepada 20,000 Tan Metrik Sebulan
Berdasarkan arahan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Bernas diminta meningkatkan pengeluaran beras ST15 kepada 20,000 tan sebulan berbanding sebelumnya ialah 11,000 tan. Peningkatan sebanyak 9,000 tan ini bagi menjamin bekalan mencukupi walaupun sebelum kenaikan harga beras, ST15 hanya merupakan 10 hingga 20 peratus keseluruhan keperluan beras. Bernas hanya membekalkan 45% keperluan beras manakala selebihnya dibekalkan oleh pembekal swasta. Namun demikian, bila krisis bekalan dan kenaikan harga beras berlaku, Bernas menjadi sasaran pihak-pihak tertentu atas dakwaan gagal memenuhinya.

Bernas Pengimport Tunggal Negara

Bernas merupakan sebuah syarikat yang mengambil alih peranan Lembaga Padi dan Beras Negara pada tahun 1976. Antara peranannya ialah menstabilkan harga padi dan beras, menampung pembelian lebihan padi yang dikeluarkan jika pihak pengilang swasta enggan membelinya, menyalurkan subsidi pertanian kepada petani dan menyediakan stok bekalan. Berdasarkan anggaran purata setiap penduduk menggunakan 77kg beras setahun (iaitu 210 gram sehari), negara memerlukan 2.2 juta tan bagi menampung keperluan penduduk Malaysia hampir 28 juta orang. Pengeluaran dalam negara sebanyak 1.527 juta tan dapat menampung keperluan sebanyak 73% manakala selebihnya sebanyak 640,000 tan diimport. Bernas diberikan tanggungjawab tunggal sebagai pengimport.

Peningkatan Jumlah Import Dan Jualan Tahun Ini Masih Tidak Dapat Menampung Keperluan Beras Negara;

Berdasarkan kenyataan Bernas, Januari hingga April Bernas telah mengimport 300,325 tan beras berbanding sebanyak 257,643 tan dalam tempoh yang sama tahun lepas (iaitu peningkatan import sebanyak 17%). Dari segi jualan pula Bernas telah menjual sejumlah 303,948 tan berbanding 221,421 tan dalam tempoh empat bulan pada tahun ini dan lepas. Peningkatan jualan sebanyak 37 peratus dilihat masih tidak dapat menampung keperluan beras. Hakikat ini sebenarnya bukanlah menjadi beban Bernas semata-mata, pihak pengilang swasta sepatutnya turut menggandakan pengeluaran beras bagi mencukupkan keperluan pasaran. Pihak pengilang swasta tidak berbuat demikian kerana mementingkan untung dan menunggu peluang untuk memasarkan beras dalam gred yang lain, di mana harganya tidak dikawal oleh kerajaan.

Pengilang Swasta Membungkus Semula Beras ST15 Demi Keuntungan

Sikap pengilang swasta inilah merupakan punca kekurangan bekalan kerana mengeluarkan beras ST15 bererti margin keuntungan adalah rendah. Adalah lebih menguntungkan jika ST15 tidak dikeluarkan manakala gred-gred yang lain dikeluarkan dengan banyak dan bebas menetapkan harga bagi mendapat margin keuntungan yang besar. Inilah sikap pengilang swasta seperti pernah berlaku ke atas harga gula kasar yang dikawal oleh Kerajaan manakala gula halus tidak dikawal. Pihak pengilang lebih berminat untuk mengeluarkan gula halus berbanding gula kasar kerana margin keuntungannya adalah lebih besar.


LANGKAH KERAJAAN

1. Meningkatkan kapasiti stok penimbal beras kebangsaan daripada 92,000 tan (bagi menampung keperluan selama 15 hari) kepada 550,000 tan (bagi menampung keperluan selama 3 bulan);

2. Membuat pemeriksaan dan pemantauan ke atas pemborong, pengilang dan penjual beras bagi mengekang aktiviti sorok, penyeludupan dan pembungkusan semula beras dari ST15 ke ST10 atau ST5;

3. Bernas berusaha untuk menyeragamkan semua jenama beras keluarannya bagi mengelakkan kekeliruan dan penipuan oleh pihak-pihak tertentu;

4. Meningkatkan subsidi pertanian untuk makanan terutama beras dan menggalakkan penghasilan setiap hektar daripada 3.1 tan kepada 5 tan. Subsidi bagi penanam padi bagi setiap hektar kini ialah RM240.10;

5. Mengkaji semula harga padi yang ditetapkan sebanyak RM650 setan bagi mendorong petani terus menanam padi;

6. Mempertingkatkan jumlah keluasan tanaman padi dengan membuka kawasan-kawasan baru (seperti Sarawak dan Sabah), memberikan TOL tanah-tanah terbiar kepada pengusaha yang berminat dan mengusahakan tanaman padi secara komersial (Terengganu berhasrat melaksanakannya dengan bantuan pihak swasta). Jumlah keluasan kawasan penanaman padi pada masa kini ialah 670,000 hektar. Jumlah ini telah menguncup sebanyak 4 peratus dalam masa 15 tahun disebabkan oleh saiz tanah yang tidak ekonomik, kekurangan kemudahan pengairan, tidak ada pengusaha, dijadikan kawasan petempatan (perumahan) dan industri, dan ditukarkan kepada tanaman lain (seperti tembakau, kelapa sawit dan sebagainya); dan

7. Menggalakkan pengguna tidak melakukan pembelian panik.

Thursday, May 22, 2008

Wednesday, May 21, 2008

Tuesday, May 20, 2008

RMK9 - PEMBANGUNAN LIMA TAHUN

Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) merupakan rancangan pembangunan Malaysia bagi tempoh 2006-2010. RMK9 dibentangkan oleh Perdana Menteri Malaysia kelima, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, di Parlimen pada 31 Mac 2006.

Rancangan pembangunan lima tahun ini diumumkan setelah Malaysia melalui fasa 15 tahun pertama semenjak Wawasan 2020 diumumkan oleh Perdana Menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad semasa membentangkan Rancangan Malaysia Keenam pada tahun 1991. Seperti rancangan-rancangan pembangunan dahulu, RMK9 bermatlamat untuk terus memacu negara ke arah kemakmuran walaupun Malaysia menghadapi persekitaran dalam dan luar negara yang sukar seperti kesan dari krisis kewangan Asia dan kenaikan harga minyak[1].

RMK9 mempunyai 5 teras utama iaitu:

Meningkatkan ekonomi dalam rantaian nilai lebih tinggi
Meningkatkan keupayaan pengetahuan dan inovasi negara serta memupuk minda kelas pertama
Menangani masalah ketidakseimbangan sosioekonomi yg berterusan secara membina dan produktif
Meningkatkan tahap dan kemampanan kualiti hidup
Mengukuhkan keupayaan institusi dan pelaksanaan

Isu-isu penting dalam RMK9

Pembangunan infrastruktur
Kerajaan Malaysia memperuntukkan sejumlah besar wang untuk pembangunan infrastruktur dalam tempoh RMK9 seperti Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) di Johor yang diperuntukkan RM10 bilion. Selain dari itu:

RM3.5 bilion untuk membina dan menaik taraf jalan
RM2 bilion untuk pembangunan industri biotechnologi (termasuk infrastruktur)
RM1 bilion untuk menaik taraf dan pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu sebagai hub kos rendah kedua di Malaysia
Peruntukan untuk jambatan kedua dan monorail di Pulau Pinang.

Monday, May 19, 2008

TUN KELUAR PARTI

oleh : pemuda malaysia

Tun Dr. Mahathir telah menyatakan hasrat untuk keluar daripada parti UMNO. Nantikan maklumat terkini daripada wiramalaysia.

Sunday, May 18, 2008

UCAPAN MENTERI BELIA DAN SUKAN

UCAPAN Y.B DATUK ISMAIL SABRI BIN YAAKOB , MENTERI BELIA DAN SUKAN MALAYSIA , SEMPENA HARI DAN MINGGU BELIA NEGARA 2008 , PADA 15 MEI 2008


Assalamualaikum w.b.t

Yang amat Berhormat

DATO’ SERI ABDULLAH BIN HJ. AHMAD BADAWI

perdana menteri malaysia

Yang Berhormat

TUAN WEE JECK SENG

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Malaysia

Yang Berhormat

Dato’ Shamsul Anuar bin Hj. Nasarah

Presiden, Majlis Belia Malaysia

Yang Berbahagia

Dato’ Mohd Yasin bin Mohd Salleh

Ketua Setiausaha

Kementerian Belia dan Sukan Malaysia

y.bhg dato’ fathul razi bin hj. bakri

ketua pengarah,

jabatan belia dan sukan negara

kementerian belia dan sukan malaysia

Dif-Dif Kehormat

Pegawai-Pegawai Kanan Kerajaan

Barisan Ahli-Ahli EXCO Majlis Belia Malaysia

Barisan Pemimpin Pertubuhan Belia Peringkat Kebangsaan dan Negeri

Seterusnya Dato’-Dato’, Datin-Datin, Tuan-Tuan dan Puan-Puan serta seluruh warga belia yang dikasihi sekalian.

Alhamdulillah, saya bersyukur ke hadrat ALLAH S.W.T kerana dengan izin-Nya kita dapat berhimpun dalam Majlis Perhimpunan Hari Belia Negara tahun 2008.

Saya juga mengalu-alukan kehadiran Yang Amat Berhormat, DATO’ SERI ABDULLAH BIN HJ. AHMAD BADAWI, Perdana Menteri yang kita kasihi. Sesungguhnya Y.A.B dan belia, saya ibaratkan sePERTI isi dan kuku yang tidak dapat dipisahkan kerana y.a.b perdana menteri satu ketika dahulu adalah merupakan ketua pengarah belia DAN apa yang sedang kita laksanakan kini adalah merupakan kelanGsungan perjuangan yang telah dicetuskan oleh y.a.b pada masa lalu.

selain itu, kesudian Y.A.B bersama-sama dengan warga belia pada hari ini adalah merupakan satu penghormatan yang tinggi kepada warga belia dan sebagai satu bukti yang jelas tentang keprihatinan dan komitmen tinggi Y.A.B Perdana Menteri kepada kita semua. Sesungguhnya sambutan Hari Belia Negara mempunyai erti yang sangat besar kerana golongan belia bukan sahaja merupakan aset negara yang tidak ternilai tetapi tingkah laku dan corak pemikiran mereka hari ini sudah tentu akan mencerna hala tuju negara di masa depan.

Dato’-Dato’, Tuan-Tuan dan Puan-Puan serta SAUDARA-SAUDARI SEKALIAN

SAMBUTAN HARI BELIA

BERSEMPENA SAMBUTAN HARI BELIA NEGARA TAHUN INI SAYA MERASAKAN BAHAWA SETIAP BELIA PERLU DIBANGUNKAN POTENSI MEREKA AGAR TEMA SAMBUTAN KITA ”BELIA CEMERLANG NEGARA TERBILANG” akan dapat direalisasikan.

justeru, kbs merasakan bahawa program pembangunan belia di bawah rmk-9 perlu dilaksanakan dengan pendekatan baru. untuk itu, setiap program-program pembangunan belia mestilah dinilai berdasarkan kepada impaknya kepada golongan belia dan juga pulangan yang setimpal kepada peruntukan yang dibelanjakan. melalui pendekatan ini bukan sahaja keberkesanan program dapat dikenalpasti tetapi juga memastikan bahawa tidak berlaku pembaziran dalam perbelanjaan peruntukan.

Dato’-Dato’, Tuan-Tuan dan Puan-Puan serta SAUDARA-SAUDARI SEKALIAN

TANGGAPAN NEGATIF masyarakat

bagi tujuan tersebut saya merasakan program-program pembangunan belia perlu selari dengan keadaan persekitaran dan tuntutan semasa. ini bermakna program-program pembangunan belia harus memperkukuhkan jati diri dan semangat patriotisme BELIA SELAIN memperkukuhkan nilai integrasi kaum.

selain itu, persepsi masyarakat kepada golongan belia juga perlu turut diperbetulkan. ini kerana dewasa ini SEMAKIN WUJUD PERSEPSI MASYARAKAT YANG SEMAKIN NEGATIF KEPADA BELIA DI MANA TANGGAPAN BELIA SEBAGAI SATU LIABILITi ATAU BEBANAN KEPADA NEGARA SEMAKIN KEDENGARAN.

KEPESATAN LIPUTAN MEDIA TERHADAP ISU – ISU NEGATIF YANG DIKAITKAN DENGAN BELIA SEPERTI REMPIT, BUANG BAYI, PERGAULAN BEBAS, PENAGIHAN DADAH DAN PIL – PIL KHAYAL SEMAKIN MENGUATKAN PERASAAN KURANG SENANG MASYARAKAT TERHADAP BELIA KITA PADA HARI INI.

JUSTERU, BAGI SAYA PERSEPSI NEGATIF ini PERLU DIPERBETULKAN. MASYARAKAT PERLU MELIHAT BELIA SEBAGAI ASET PENTING NEGARA DAN LEBIH AGRESIF MENYERTAI ARUS PEMBANGUNAN NEGARA. UNTUK ITU, KITA SEMUA BERTANGGUNGJAWAB UNTUK BERUSAHA MENJADIKAN MEREKA LEBIH BERTANGGUNGJAWAB, MENDENGAR DAN MENERIMA PANDANGAN MEREKA SELAIN MELIBATKAN MEREKA SECARA LANGSUNG DALAM PROSES PEMBUATAN DASAR.

Dato’-Dato’, Tuan-Tuan dan Puan-Puan serta SAUDARA-SAUDARI SEKALIAN

KRITERIA KEPIMPINAN & PENDEKATAN BARU

setiap belia harus memiliki ciri kepimpinan yang baik, paling tidak belia harus mampu memimpin dirinya sendiri. Oleh itu bagi merealisasikan impian ini setiap daripada kita perlu memainkan peranan dalam menanam nilai kepimpinan di kalangan warga belia.

Dari sudut patriotisme, saya secara peribadi merasakan bahawa belia negara ini perlu ditanamkan dengan dua nilai yang utama iaitu yang pertama, semangat patriotik kepada negara yang nilai utamanya termasuklah nilai KECINTAAN yang tinggi kepada negara dan sanggup MELAKUKAN PENGORBANAN BAGI memaju dan mempertahankan negara dengan semangat yang kental. Kedua, belia di negara ini perlu mempunyai semangat nasionalisme yang tinggi dalam konteks memajukan, mempertahankan dan menjayakan ketuanan negara bangsanya.

ATAS FAKTOR tersebut MAKA PADA TAHUN INI KBS TELAH MEMBUAT PERUBAHAN DI MANA PROGRAM KONVENSYEN BELIA TELAH DIPERLUASKAN SEHINGGA KE PERINGKAT NEGERI. PENGANJURAN KONVENSYEN INI SEBAGAI USAHA AGAR SUARA DAN PANDANGAN GOLONGAN BELIA DI PERINGKAT AKAR UMBI DAPAT DIDENGAR DAN DIAMBIL TINDAKAN DI PERINGKAT KERAJAAN AMNYA DAN KBS SENDIRI KHUSUSNYA.

SELAIN ITU, KBS JUGA AKAN MEMPERKASAKAN MAJLIS PERUNDINGAN BELIA NEGARA DAN MEMPERHEBATKAN PELAKSANAAN MAJLIS PERUNDINGAN BELIA NEGERI DAN DAERAH.

DI PERINGKAT DAERAH, KITA MAHU PEGAWAI BELIA DAN SUKAN DAERAH DAN PENGERUSI MAJLIS BELIA DAERAH BERGANDING BAHU menjadi pengerusi bersama MAJLIS INI. KITA SEDAR CABARAN DUNIA GLOBAL YANG SEMAKIN MENULAR MEMERLUKAN SATU PERMUAFAKATAN YANG JITU DARI SEMUA PIHAK. ISU – ISU REMEH SEPERTI TIADA PERSEFAHAMAN ANTARA PEMIMPIN BELIA SETEMPAT DENGAN PEGAWAI – PEGAWAI BELIA DAN SUKAN SETEMPAT HARUSLAH DISELESAIKAN SECARA POSITIF KERANA KITA MEMPUNYAI AGENDA NEGARA YANG LEBIH BESAR DAN MENUNTUT PERMUAFAKATAN.

Dato’-Dato’, Tuan-Tuan dan Puan-Puan serta SAUDARA-SAUDARI SEKALIAN

KEPIMPINAN DAN PERSATUAN BELIA

KEPIMPINAN PERSATUAN BELIA JUGA HENDAKLAH SENTIASA PEKA TERHADAP PERUBAHAN SEMASA PERSEKITARAN DAN BEGITU JUGA DENGAN STRATEGI PENGANJURAN SESUATU PROGRAM AGAR IANYA SELARI DENGAN TUNTUTAN GLOBALISASI SELAIN BERUPAYA MENARIK MINAT LEBIH RAMAI BELIA UNTUK MENYERTAI.

BAGI MENCAPAI MAKSUD TERSEBUT, Usaha meNGUPAYAKAN persatuan belia TURUT AKAN DIBERI KEUTAMAAN OLEH KBS. USAHA-USAHA INI AKAN dilakukan dengan menyediakan dana bantuan pentadbiran dan juga bantuan melaksanakan program/aktiviti dengan mencukupi kepada setiap pertubuhan belia. KBS AKAN MEMPERUNTUKKAN ‘GRANT’ TERUS KEPADA PERSATUAN BELIA DI SEMUA PERINGKAT SAMA ADA DI PERINGKAT NASIONAL, NEGERI, DAERAH, CAWANGAN MAHUPUN KAMPUNG-KAMPUNG. MELALUI PERUNTUKAN INI KITA MAHU PERSATUAN BELIA SENDIRI MENGURUS, MERANCANG DAN MELAKSANAKAN PROGRAM-PROGRAM SEMENTARA PEGAWAI KEMENTERIAN AKAN BERTINDAK SEBAGAI PEMUDAH CARA DAN PEMANTAU.

Dato’-Dato’, Tuan-Tuan dan Puan-Puan serta SAUDARA-SAUDARI SEKALIAn

belia Malaysia pada hari ini hidup pada alaf baru. walau pun tidak semua perkara harus diperbaharui, tetapi secara realitinya belia negara ini berhadapan dengan banyak cabaran dan gaya hidup yang baru. Kini sesuai dengan semangat 50 tahun PASCA kemerdekaan tiba masanya kita perlu memiliki ’world-view’ yang tepat dan memastikan minda kita berada pada tahap zaman yang betul. Namun keterbukaan minda dan perubahan budaya janganlah sampai menghakis patriotisme dalam diri kita. seperti pesanan Y.A.B Perdana Menteri dalam puisinya bertajuk ”Dirgahayu Malaysia” ;

Kemerderkaan jangan sekali diperniaga

Mahal nilainya tidak terhingga

Emas dan ringgit bukan taranya

Pertahankan ibunda kurniaan maha pencipta

Jagailah pertiwi bertuah

Dengan keringat dan darah

Pertaruhkan segala

BLOG & RAKAN SIBER

UNTUK ITU KBS TELAH MENGAMBIL LANGKAH KE HADAPAN DENGAN MEWUJUDKAN RUANGAN BLOG – BLOG KHUSUS DI INTERNET UNTUK MEMBERI RUANG KEPADA BELIA BERDEBAT DAN MENDAPAT MEKLUMAT YANG SEBENAR. KITA TIDAK MAHU BELIA – BELIA KITA PADA HARI INI TERPESONG DAN TERSALAH TAFSIRAN KERANA DIHIDANGKAN DENGAN MAKLUMAT YANG NAMPAK CANTIK TETAPI TERNYATA KOSONG DAN FITNAH. KBS MAHU BELIA – BELIA KITA SENTIASA DIBERI MAKLUMAT YANG SEBENAR DAN MEREKA DAPAT MEMBERI PANDANGAN DAN PENDAPAT DALAM SESUATU ISU. OLEH ITU, BLOG INI NANTI AKAN MEMENUHI KEHENDAK BELIA DAN BERSIFAT RINGAN DAN SANTAI.

SELAIN ITU, BAGI MENDEKATI GOLONGAN BELIA YANG SENTIASA MENJADIKAN GAJET TEKNOLOGI INTERNET SEBAGAI TEMAN RAPAT MEREKA, KBS AKAN MEMPERKENALKAN RAKAN SIBER. MELALUI PENGWUJUDAN RAKAN SIBER INI KITA MENGHARAPKAN SUPAYA MAKLUMAT DEMOGRAFI KUMPULAN INI AKAN DAPAT DIKENALPASTI DAN SETERUSNYA DILIBATKAN SECARA LANGSUNG DALAM PELAKSANAAN PROGRAM-PROGRAM PEMBANGUNAN BELIA KE ARAH MEMUPUK SEMANGAT PATRIOTISME DAN JATI DIRI DI KALANGAN MEREKA.

Dato’-Dato’, Tuan-Tuan dan Puan-Puan serta SAUDARA-SAUDARI SEKALIAN

PENUTUP

AKHIR SEKALI SUKA SAYA MENYATAKAN BAHAWA KBS AKAN TERUS MEMPERKASAKAN PEMBANGUNAN BELIA DAN INGATLAH SAUDARA DAN SAUDARI BAHAWA PEMBANGUNAN NEGARA ADA KAITANNYA DENGAN PEMBANGUNAN BELIA. DENGAN ITU, KITA MESTI JADIKAN PEMBANGUNAN BELIA TANGGUNGJAWAB KITA BERSAMA.

DENGAN ITU, SAYA INGIN MENGUCAPKAN SEKALI LAGI TERIMA KASIH KEPADA Y.A.B DATO’ SRI ABDULLAH BIN HJ. AHMAD BADAWI, PERDANA MENTERI MALAYSIA ATAS KESUDIAN HADIR PADA MAJLIS PETANG INI DAN KEPADA SELURUH WARGA BELIA MALAYSIA, “SELAMAT MENYAMBUT HARI BELIA NEGARA BAGI TAHUN 2008”

“BELIA CEMERLANG NEGARA TERBILANG”

WABILLAHITAUFIK WALHIDAYAH WASALAMUALAIKUM WARAHMATULLAH HIWABARAKATUH.

Thursday, May 15, 2008

VIDEO UCAPAN MP JERLUN





PENJELASAN ISU SCORPENE DAN SUKHOI

PENJELASAN BERHUBUNG ISU PEROLEHAN KAPAL SELAM SCORPENE DAN PESAWAT SUKHOI SU30MKM
OLEH ANGKATAN TENTERA MALAYSIA

Kementerian Pertahanan hari ini ingin memberi penjelasan berhubung kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh pihak-pihak tertentu tentang perolehan pesawat Sukhoi SU30MKM dan kapal selam Scorpene oleh Angkatan Tentera Malaysia.

Kementerian Pertahanan mendapati bahawa kenyataan-kenyataan yang dibuat terutama oleh parti-parti politik tertentu mengenai perolehan kelengkapan tersebut sejak akhir-akhir ini telah menimbulkan banyak kekeliruan dan salah faham di dalam masyarakat.

Selain itu, ia juga menimbulkan persepsi negatif dan prasangka bahawa perolehan kelengkapan untuk keperluan Angkatan Tentera Malaysia telah dilaksanakan tanpa mengikut prosedur yang ditetapkan, tidak telus dan membazir.


Di sini, pihak Kementerian ingin memaklumkan bahawa semua rundingan perolehan adalah dijalankan mengikut Tatacara Perlaksanaan Kontrak-Kontrak Perolehan Peralatan Pertahanan Negara oleh pegawai-pegawai kerajaan. Ia melibatkan pelbagai peringkat kelulusan termasuk Jawatankuasa Teknikal dan Jawatankuasa Rundingan Harga setelah penilaian-penilaian yang teliti dibuat demi memastikan perolehan tersebut menepati keperluan Angkatan Tentera Malaysia.

Selain itu, rujukan juga dibuat kepada pihak Jabatan Peguam Negara bagi mendapatkan kelulusan ke atas klausa-klausa kontrak tersebut. Semua terma-terma dan kelulusan untuk rundingan terus dikemukakan kepada Kementerian Kewangan dan kontrak hanya akan ditandatangani selepas kelulusan Kementerian Kewangan diperolehi.

Berhubung dengan perolehan kapal selam Scorpene, Kementerian Pertahanan ingin menegaskan bahawa dakwaan kononnya kerajaan telah membayar komisen sebanyak RM540 juta kepada Encik Abd Razak Baginda merupakan satu tuduhan yang tidak berasas sama sekali.

Kementerian juga ingin menegaskan bahawa dalam soal perolehan kapal selam Scorpene, TIDAK ADA sebarang komisen yang dibayar kepada syarikat Perimekar Sdn. Bhd. seperti yang didakwa. Ini kerana perolehan kapal selam telah dibuat secara rundingan terus - selaras dengan tatacara perolehan kerajaan - dengan syarikat pembuat iaitu ARMARIS (Perancis) dan NAVANTIA (Sepanyol) yang telah mendapat persetujuan kerajaan masing-masing.

Sebaliknya, syarikat Perimekar Sdn. Bhd. yang didakwa menerima komisen, sebenarnya diberikan kontrak menyediakan perkhidmatan sokongan dan koordinasi untuk tempoh selama enam tahun. Nilai kontrak tersebut adalah sebanyak EURO 114.96 juta, yang dibayar secara berperingkat-peringkat mengikut kemajuan pelaksanaan projek.

Perimekar Sdn Bhd dimiliki bersama oleh Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Boustead Holdings Berhad dan K.S.Ombak Laut Sdn. Bhd.

Skop kerja perkhidmatan sokongan adalah seperti berikut:

1. Menyediakan kemudahan kediaman beserta kelengkapan untuk tim projek bagi 27 keluarga di Perancis dan Sepanyol untuk tempoh enam tahun.

2. Menyediakan pejabat urusan dan kediaman beserta kelengkapan bagi krew kapal selam TLDM seramai 156 orang untuk tempoh empat tahun di Perancis dan Sepanyol.

3. Menyediakan insurans kesihatan bagi anggota serta keluarga tim projek dan krew kapal selam di Perancis dan Sepanyol

4. Membayar elaun harian dan elaun krew kapal selam sebanyak EURO 50 sehari seorang untuk tiga tahun pertama dan EURO 60 sehari seorang untuk tiga tahun kedua.

5. Membiayai kos penerbangan pergi dan balik bagi setiap krew kapal selam untuk balik bercuti ke Malaysia pada setiap 4 bulan (tiga kali setahun).

6. Lain-lain keperluan tim projek dan krew kapal selam di Perancis dan Sepanyol


Perkhidmatan koordinasi pula melibatkan:

1. Bertanggungjawab memastikan penyertaan syarikat Malaysia dalam pembinaan dan membantu syarikat-syarikat Malaysia yang berpotensi untuk menyertai program off-set.

2. Membantu kontraktor utama dalam memberi maklumat tentang prosedur kerajaan berhubung perlaksanaan kontrak.

3. Menyelaras latihan krew kapal selam antara kontraktor dengan kerajaan.

4. Menyediakan laporan koordinasi setiap enam bulan.

Jumlah kontrak EURO 114.96 juta bukanlah merupakan keuntungan bersih milik syarikat Perimekar Sdn Bhd., sebaliknya jumlah ini adalah meliputi segala pembayaran kos langsung bagi skop perkhidmatan sokongan dan tanggungan ke atas kos tidak langsung bagi perkhidmatan koordinasi seperti yang ditetapkan dalam kontrak tersebut.

Kementerian Pertahanan membuat keputusan untuk melantik sebuah syarikat tempatan bagi menyediakan perkhidmatan sokongan dan koordinasi kerana kaedah tersebut dianggap lebih sesuai dan berkesan. Ia juga bagi tujuan melicinkan kerja-kerja Tim Projek membuat pemantauan ke atas pembinaan dan latihan krew kapal selam di Perancis dan Sepanyol.

Selain itu, segala perbelanjaan untuk projek kapal selam ini dapat dikawal dan dijadualkan manakala perbelanjaan di luar jangka (cost over-run) dapat dielakkan memandangkan pelaksanaan projek perolehan kapal selam memakan tempoh masa yang panjang iaitu selama enam tahun serta melibatkan bilangan anggota yang ramai.

Berdasarkan kepada keperluan tersebut, maka syarikat Perimekar Sdn. Bhd. telah dilantik untuk menyediakan perkhidmatan yang diperlukan mengikut skop kerja yang ditetapkan.

Tentang perolehan pesawat Sukhoi SU30MKM pula, Kementerian Pertahanan ingin menyatakan bahawa perolehan adalah dibuat secara rundingan terus dengan Rosoboronexport, syarikat milik negara Russia.

Rundingan terus ini adalah selari dengan dasar negara Rusia dan negara-negara lain yang mempunyai polisi bagi mengawasi penjualan peralatan ketenteraan keluaran syarikat negara masing-masing agar tidak terlepas kepada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

Berdasarkan senario tersebut, semua kontrak-kontrak perolehan peralatan pertahanan ditandatangani oleh wakil Kementerian Pertahanan bagi pihak Kerajaan Malaysia dengan syarikat-syarikat Principal negara asing, termasuk dalam soal pembelian pesawat Sukhoi. Perolehan pesawat ini juga mematuhi Tatacara Perlaksanaan Kontrak-Kontrak Perolehan Peralatan Pertahanan Negara.

Dalam soal pembelian pesawat Sukhoi, syarikat Rosboronexport telah melantik sebuah syarikat tempatan untuk memudahkan urusan mereka di negara ini. Justeru, Kementerian ingin menegaskan bahawa sebarang urusan perniagaan antara Rosboronexport dan syarikat tempatan yang dilantik adalah merupakan urusan perniagaan biasa semata-mata dan sama sekali tidak melibatkan Kerajaan Malaysia.

Dengan penjelasan ini, maka Kementerian Pertahanan berharap agar semua pihak memahami keadaan sebenar dan tidak lagi mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang mengelirukan dan boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap Angkatan Tentera Malaysia, Kementerian Pertahanan dan Kerajaan Malaysia.

Cawangan Perhubungan Awam
Kementerian Pertahanan Malaysia
Kuala Lumpur
26 April 2007

UCAPAN SULUNG DATO" MUKHRIZ

Terima kasih Tan Sri Yang DiPertua kerana memberi saya julung2 kalinya peluang untuk saya membahaskan Titah Ucapan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong di Persidangan Penggal Pertama Parlimen Keduabelas.


Negara Perindustrian


Tan Sri Yang DiPertua, seperti yang kita sedari, di era serba mencabar dalam ekonomi dunia, negara mesti menarik minat pelabur langsung asing (FDI) untuk membuka kilang, mewujudkan industri-industri dan syarikat- syarikat yang mengeluarkan produk dan perkhidmatan untuk pasaran global. Kita lihat kebelakangan ini, Malaysia tidak dilihat sebagai destinasi pelaburan utama bagi setiap pelabur yang meninjau rantau ini dalam usaha mencari lokasi untuk membuka bisnesnya.


Buat masa ini bukan sahaja negeri penduduk ramai seperti China, India dan Indonesia yang dapat menawarkan harga buruh yang murah, tapi kita lihat kemunculan Vietnam, Cambodia dan juga Laos mendapat FDI - yang lama kelamaan akan melebihi FDI yang datang ke Malaysia.


Malah, sekarang ini China dan India sudah menarik perhatian pelabur-pelabur yang memberi penekanan kepada keupayaan teknologi, dan bukan hanya kos buruh yang murah.


Bagi Malaysia yang berhubung rapat dengan dunia perdagangan dan perniagaan, sudah tentu kadar kemasukan FDI menjadi petanda survivabiliti negara.


Pada waktu yang sama, dalam usaha kita untuk menjadi negara maju pada tahun 2020, sudah tentu kita perlu memberi penekanan kepada usaha untuk meningkatkan bilangan industri industri besar dan juga IKS yang menjadi tulang belakang negara perindustrian. Soalnya, adakah industri-industri besar dan juga IKS Malaysia boleh diiktiraf sebagai bertaraf dunia? Untuk menjadi negara perindustrian sudah tentu kita perlu wujudkan syarikat syarikat perindustrian ala Sony, Hyundai, Acer dan sebagainya. Sudah tentu kita juga perlu lahirkan “industrialists” seperti Akio Morita, Chung Ju-Yung dan Stan Shih untuk menerajui syarikat syarikat ini. Soalnya, syarikat Malaysia yang manakah yang boleh kita bangga sebagai syarikat teknologi tinggi yang diri dan duduknya sama tinggi sama rendah dengan syarikat syarikat ternama didunia, dan siapakah industrialist Malaysia yang akan memacu negara kearah menjadi negara perindustrian?


Di sini saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan takziah kepada balu dan keluarga Allahyarham Tan Sri SM Nasimuddin SM Amin, pengasas Naza Motors yang telah meninggal dunia baru baru ini. Sebelum ini juga, Allahyarham Tan Sri Yahaya Ahmad, pengasas DRB Hicom - juga seorang tokoh yang dilihat sebagai industrialist negara - telah meninggal dunia sebelum sempat membantu dalam usaha mengindustrikan negara.

Saya berharap Kerajaan akan terus dengan pendekatan Pensyarikatan Malaysia atau Malaysia Incorporated supaya jenama jenama Malaysia industri besar dapat menerokai pasaran dunia untuk produk dan perkhidmatan hasil usaha Malaysia - sekaligus merealisasikan aspirasi negara menjadi negara maju berindustri.


Kita mahu lihat GLC memainkan peranan yang lebih bermakna dalam usaha memacu negara kearah menjadi negara industri. Pada waktu yang sama, kita harap ruang dan peluang akan diberikan kepada mana mana usahawan pihak swasta untuk mengusahakan industri besar. Dalam penglibatan GLC dalam industri besar, biarlah ianya tidak bersaing dengan syarikat swasta yang mencebur diri dalam sektor industri yang sama. Ini adalah kerana perbelanjaan dan pelaburan yang diperlukan untuk industri besar ini punyai kos dan risiko yang tinggi. Sudah tentu merugikan negara sekiranya syarikat syarikat swasta ini berhadapan dengan saingan daripada GLC dalam sektor industri yang sama.


Kewujudan industri intensif buruh sudah tentu akan menyediakan banyak peluang kerja untuk anak-anak muda kita. Industri intensif kapital pula memerlukan tenaga kerja yang mampu menguasai teknologi tercanggih.

China dan India makin hari makin berkemampuan untuk melahirkan tenaga kerja yang berdaya kreatif dan inovatif. Banyak produk dari negara maju yang dulunya direka bentuk di Barat dikeluarkan di kilang-kilang di India dan China. Kini kita lihat kerja kerja rekabentuk juga dilakukan oleh syarikat design di kedua India dan China. Nilai tambah yang disumbangkan oleh kedua negara ini mampu mengurangkan kos untuk syarikat induk di negara maju, sambil itu membuktikan bahawa syarikat India dan China juga mampu menyaingi Barat dalam fungsi mereka bentuk.

Dimana Malaysia dalam soal ini? Walaupun India dan China sudah kurang dilihat sebagai negara pengeluaran kos rendah, tetapi negara membangun yang lain telah mengambil alih tempat kedua negara tersebut. Indonesia, Vietnam dan Cambodia pula dilihat sebagai destinasi pelaburan terbaru yang menarik.


Mahu tak mahu, Malaysia tidak dapat elak daripada menarik pelabur yang lebih mementingkan kualiti produk dan tahap penguasaan teknologi tinggi daripada kos buruh yang rendah. Adakah tenaga kerja Malaysia bersedia untuk menerima kehadiran pelabur-pelabur seperti ini? Sudah tentu Dasar Pendidikan Negara memainkan peranan yang amat penting untuk merealisasikan matlamat ini.


Pendidikan


Tan Sri Yang Di Pertua, sambil kita membina modal insan seperti yang kerap kali diuar-uarkan oleh Kerajaan, kita juga perlu memastikan peluang kerja yang mencukupi untuk anak-anak muda kita termasuk graduan IPT tempatan dan juga yang menuntut di luar negara. Malangnya kita lihat kadar pengangguran yang masih membimbangkan. Atas sebab sebab tertentu, ramai juga graduan kita yang tidak berpeluang untuk mencari kerja yang menepati kelulusan mereka, dan ada juga yang masih menganggur.


Ramai graduan diluar negara pula mencari kerja dinegara tersebut. Ada juga bakat terbaik diantara anak muda kita yang diambil kerja diluar negara - ramai juga ke Singapura. Ada diantara mereka yang berpendapat bahawa gaji yang ditawar di Malaysia untuk kerja mengikut kelulusan mereka tidak memenuhi keperluan mereka, maka itulah sebabnya mereka berhijrah keluarnegara untuk cari nafkah.


Ini bermakna bahawa belanja yang banyak yang dikeluarkan oleh Kerajaan untuk memberikan pendidikan kepada anak-anak kita tidak membawa hasil seperti yang diharapkan kerana peluang kerja yang tidak mencukupi. Lebih merugikan lagi apabila bakat bakat terbaik antara mereka bekerja di luar negara, menetap di sana dan membayar cukai pendapatan di sana juga.


Kalau trend ini tidak dibendung, negara akan mengalami kerugian yang amat besar dan kesannya akan berpanjangan.


PPSMI


Tan Sri Yang Di Pertua, kita sering diberitahu bahawa ada diantara guru-guru di sekolah tidak mempunyai penguasaan Bahasa Inggeris yang secukupnya untuk mereka menjayakan program Pengajaran, Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Apabila guru-guru ini dikehendaki menjalani Peperiksaan Tahap Profisiensi (atau PTP), kerap kali peperiksaan ini dilakukan pada waktu yang tidak sesuai dan ianya menjadi satu bebanan kepada guru-guru. Oleh itu, guru guru ini tidak mempunyai tempoh waktu yang mencukupi untuk membuat persediaan bagi menghadapi peperiksaan ini. Supaya mendapat gambaran yang sebenarnya mengenai tahap penguasaan Bahasa Inggeris, saya cadangkan agar PTP ini diadakan sewaktu cuti penggal sekolah atau apabila guru-guru menghadiri kursus.Sekiranya diberi masa yang mencukupi,saya yakin tahap pencapaian guru-guru yang menduduki PTP ini akan lebih memuaskan.

Saya ingin ucapkan tahniah kepada Kementerian Pelajaran kerana mewujudkan program Pedagogy Enhancement & Reinforcement of Learning Strategy atau PEARLS dimana guru guru Sains dan Matematik berkumpul dan berbincang mengenai pendekatan pendekatan yang terbukti membawa hasil yang diingini dalam menjayakan PPSMI. Program ini diterima baik oleh guru-guru tersebut, dan nampaknya memberangsangkan mereka untuk terus berusaha ke arah matlamat yang ditetapkan.


Membantu usahawan muda


Kebelakangan ini kita lihat begitu ramai belia yang memerlukan bantuan kewangan dalam bentuk modal untuk memulakan perniagaan kecil kecilan. Mereka tidak memerlukan wang yang banyak. Sekadar RM10,000 hingga RM20,000 pun memadai untuk perniagaan mereka. Tetapi kerana tidak dianggap “credit worthy”, mungkin kerana punyai hutang-hutang lain yang belum diselesaikan, atau kerana tidak ada aset yang boleh dicagarkan untuk pinjaman tersebut, maka bakal bakal usahawan muda ini tidak dapat membuat pinjaman dari institusi institusi kewangan atau dari agensi-agensi peminjam Kerajaan.

Olehitu, saya ingin mengucapkan syabas kepada Kementerian Belia dan Sukan kerana memansuhkan beberapa syarat untuk pinjaman dibawah Skim Tabung Ekonomi Belia (STEB). Ini membolehkan lebih ramai belia menyertai bidang keusahawanan, sekaligus membantu mengurangkan kadar pengangguran dikalangan belia.

Untuk memastikan bahawa jumlah dana STEB sebanyak RM40 juta itu digunakan sepenuhnya bagi tujuan ini, saya cadangkan supaya pegawai Kementerian Belia & Sukan turun mencari usahawan usahawan kecil yang sudah berniaga seperti mereka yang mempunyai gerai makanan yang popular untuk ditawarkan pinjaman supaya dapat membantu meluaskan perniagaan yang mereka usahakan.


Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri?


Tan Sri Yang Di Pertua, saya ingin menyentuh sedikit mengenai apa yang telah dikatakan oleh YB dari Gombak yang telah menyatakan bahawa Dato Seri Anwar Ibrahim adalah insan yang bakal menjadi Perdana Menteri Malaysia. Saya tertanya-tanya mengenai tiga perkara yang telah dilaporkan dalam media asing tetapi tidak diberi liputan oleh media tempatan.


Yang pertama mengenai artikel dalam majalah TIME dalam edisinya bertajuk “The 2008 TIME 100”. Laporan mengenai Dato Seri Anwar ditulis oleh rakan karibnya, Paul Wolfowitz - bekas Timbalan Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat merangkap ketua strategist Perang Iraq untuk George W. Bush. Mengapa harus Dato Seri Anwar bersekongkol dengan pembunuh lebih 1 juta rakyat Iraq ini?


Yang keduanya mengenai artikel dalam akhbar Israel, iaitu Jerusalem Post, yang menggambarkan Dato Seri Anwar sebagai “Malaysia’s Future Prime Minister” seperti yang telah disebut oleh YB dari Gombak dalam dewan yang mulia ini. Adakah ini bukti bahawa Israel juga setuju Dato Seri Anwar menjadi perdana menteri Malaysia? Dan kalau setuju, mengapa?

Yang ketiganya ialah mengenai sebuah badan bukan kerajaan atau NGO yang bernama Foundation of the Future. NGO ini menerima dana sebanyak US$35juta dari Jabatan Negara atau State Department, kerajaan Amerika Syarikat, US$10 juta dari Bahrain dan US$11 juta dari lain lain sumber yang tidak diketahui. Pengerusi Foundation of the Future ialah tak lain tak bukan Dato Seri Anwar Ibrahim, insan yang dikatakan bakal Perdana Menteri Malaysia. Di NGO ini jugalah, Dato Seri Anwar mengambil kerja Shaha Riza, teman wanita Paul Wolfowitz yang telah mencetuskan kontroversi di Bank Dunia tempohari.


Soalnya, adakah Dato Seri Anwar Ibrahim yang terlibat secara langsung dalam organisasi yang diragui latarbelakangnya, dan berkawan rapat dengan pengikut fahaman Neo Conservative yang membunuh rakyat Islam di Iraq, Paul Wolfowitz, hendak kita benarkan mengambil alih kepimpinan negara tercinta ini?


Sudah tentu tidak! Selagi nyawa dikandung badan, UMNO tetap akan mempertahankan kedaulatan negara kita.


“Tsunami Politik”


Tan Sri Yang Di Pertua, apa yang berlaku didalam pilihanraya yang lepas sebenarnya memberikan hikmah dan pengajaran yang besar kepada UMNO. UMNO sudah mendengar dan memahami isihati rakyat, dan akan membuka satu lebaran yang baru. Sejarah UMNO telah membuktikan setiap kali ia jatuh ia akan bangun dengan lebih gagah dan perkasa. UMNO tidak akan berpeluk tubuh berdiam diri dan membuang masa.


Percayalah kami akan menunaikan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan oleh rakyat. Setiap apa yang kami lakukan dan bakal lakukan pembangkang harus gusar dan gentar kerana perubahan dan kebangkitan semula UMNO sudah bermula. Ia akan mendatangkan seribu satu impak positif kepada semua pihak. Pihak pembangkang tidak perlu masuk campur atau menjaga tepi kain UMNO, kerana kami tahu bagaimana untuk mengurus dan menjaga parti yang kami cintai ini. Dan sesungguhnya tsunami politik akan berlaku di dalam pilihanraya yang akan datang - cumanya,pasa ketika itu pihak pembangkang pulalah yang akan dilanda badai tersebut.


Oleh itu, diatas dasar perjuangan agama, bangsa dan tanahair, saya ingin mengajak Ahli2 Yg Berhormat dari pihak pembangkang kembali ke pangkal jalan dan menyertai kami.

Tan Sri Yang DiPertua, oleh itu saya mohon menyokong. Sekian, terima kasih.

Wednesday, May 14, 2008

UCAPAN MP REMBAU

TUAN Yang Dipertua,

Saya tampil untuk turut serta membahas usul menjujung kasih ke bawah duli Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong di atas titah Tuanku di Dewan yang mulia ini.

Izinkan saya bermula dengan merakamkan ucapan takziah dan rasa simpati rakyat Rembau kepada rakyat negara Myanmar atas malapetaka taufan yang mengorbankan puluhan ribu nyawa di negara jiran kita itu. Saya harap bantuan dari masyarakat antarabangsa akan sampai terus kepada rakyat Myanmar tanpa sekatan untuk mengelak krisis yang lebih besar berlaku.

Tuan Yang Dipertua,

Inisiatif Kerajaan untuk menilai semula serta mengambil langkah-langkah untuk memperkasakan beberapa institusi pemerintahan dan pentadbiran adalah selaras dengan hasrat Kerajaan untuk mengukuhkan lagi lunas-lunas demokrasi, ketelusan, accountability dan integriti dalam sistem politik negara. Iltizam politik yang ditunjukkan oleh Kerajaan untuk membawa perubahan yang dituntut oleh rakyat adalah bukti komitmen Barisan Nasional kepada prinsip-prinsip tersebut secara hakiki dan bukan hanya sekadar retorik politik.

Mendahului senarai, cadangan penstrukturan semula Badan Pencegah Rasuah dan penubuhan Suruhanjaya Perlantikan Hakim disambut baik oleh rakyat di Rembau kerana mereka, seperti juga rakyat Malaysia yang lain, ingin melihat gejala rasuah dibasmi secara menyeluruh dan memastikan setiap rakyat mendapat hak dan diberikan keadilan yang mutlak di mahkamah.

Rakyat umum menyifatkan langkah penubuhan Suruhanjaya Perlantikan Hakim sebagai satu cadangan yang amat berani dalam mengembalikan maruah, martabat dan kebebasan institusi kehakiman yang dianggap tercemar dan tercalar kredibilitnya sejak berlaku krisis kehakiman pada tahun 1988. Suruhanjaya ini, yang dicadangkan oleh YAB Perdana Menteri, harus memastikan bahawa proses penilaian dan penapisan perlantikan dan juga kenaikan pangkat hakim dijalankan dengan telus dan beramanah, tanpa adanya sebarang usaha untuk mempengaruhi mana-mana pihak yang terlibat. Dengan cara ini, rakyat akan lebih yakin bahawa hanya individu yang terbaik dari segi ilmu undang-undang dan integriti akan menganggotai badan kehakiman negara.

Namun begitu, saya percaya penubuhan Suruhanjaya ini tidak menghakis prerogative Perdana Menteri. Selaras dengan contoh daripada negara-negara lain, cabang eksekutif Kerajaan perlu mempunyai hak budi bicara untuk menimbang cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh Suruhanjaya tersebut. Pada masa yang sama, Suruhanjaya ini sama sekali tidak akan menghakis kedaulatan Institusi Raja, kerana nama-nama calon hakim baru dan mereka yang dinaikkan pangkat tetap memerlukan perkenan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Harapan yang menggunung juga diletakkan oleh rakyat agar komposisi keanggotaan Suruhanjaya ini merangkumi mereka yang arif dan dalam ilmunya, berpengalaman dan berintegriti tinggi seperti bekas hakim-hakim, cendekiawan undang-undang dan wakil dari profesion guaman, selain Ketua Hakim dan hakim-hakim kanan yang masih berkhidmat.

Tuan Yang DiPertua,

Penstrukturan semula Badan Pencegah Rasuah dengan menjadikannya sebuah suruhanjaya bebas yang dikenali sebagai Suruhanjaya Anti Rasuah Malaysia dan penggubalan akta perlindungan bagi whistleblowers juga merupakan langkah-langkah yang berani dalam menunaikan janji kepada rakyat. Saya ingin mencadangkan supaya Suruhanjaya ini diberi lebih kuasa, terutamanya kuasa pendakwaan. Perlaksanaan cadangan ini akan memberi pengkhususan kepada Suruhanjaya tersebut dalam pendakwaan kes-kes rasuah dan boleh meringankan beban Kamar Peguam Negara yang berdepan dengan banyak kes-kes tertangguh.

Pada masa yang sama, saya juga berharap agar Kerajaan akan meneruskan usahanya untuk mencegah rasuah dengan penggunaan teknologi moden. Teknologi sebegini akan dapat memastikan bahawa wang rakyat yang dibelanjakan memperoleh nilai yang terbaik. Contohnya, Kerajaan boleh menggunakan teknologi maklumat untuk mengurangkan kos perolehan dan menyalurkan penjimatan tersebut kepada projek-projek pembangunan. Sistem yang dikenali sebagai e-perolehan atau e-procurement mampu menjamin harga barang yang dijual kepada Kerajaan adalah pada harga yang berpatutan. Sistem ini telah berjaya mengurangkan kos di syarikat-syarikat gergasi dunia sehingga 25%.

Satu lagi contoh yang saya ingin utarakan ialah perlaksanaan sistem track and trace dalam Kerajaan. Sistem track and trace yang lazimnya digunakan oleh perkhidmatan pos, membolehkan pengguna menyemak status fail mereka, nombor telefon dan alamat e-mel pegawai yang sedang memproses fail tersebut. Melalui perlaksanaan sistem ini, rakyat akan menjimatkan banyak masa kerana status permohonan mereka boleh didapati secara real time. Saya juga mencadangkan agar tempoh masa atau deadline juga dapat diberikan untuk permohonan-permohonan tertentu agar rakyat yang berurusan dengan Kerajaan tahu bila kes mereka akan dapat diselesaikan. Ini akan meningkatkan lagi sistem penyampaian perkhidmatan awam dan mengurangkan kemungkinan berlakunya rasuah, apabila permohonan daripada rakyat tersenggut-senggut pergerakannya atau langsung tidak bergerak lantaran kerana tiada pelincir.

Tuan Yang Dipertua,

Media massa yang terbuka, bertanggunggjawab dan berkredibiliti merupakan tunggak penting sistem pemerintahan yang demokratik. Oleh itu, satu langkah bersepadu hendaklah diambil untuk memperkukuhkan media massa tempatan, tidak kira sama ada media cetak, elektronik atau Internet agar kredibiliti semua jenis media akan dapat ditingkatkan lagi.

Kerajaan telah membuktikan keprihatinannya dengan memberikan ruang untuk media massa menyuarakan pendapat mereka tentang pelbagai isu semasa. Sudah tiba masanya bagi ruang ini diperkukuhkan lagi secara formal dengan satu reformasi menyeluruh, yang boleh menjamin media yang terbuka dan bertanggungjawab. Menyedari akan hakikat bahawa isu-isu berhubung kaum dan agama adalah sensitif, perubahan ini perlulah dijana dengan halus dan teliti, dengan objektif yang nyata, iaitu menjadikan media satu institusi yang berkredibiliti tinggi dan berwibawa.

Saya menyambut baik cadangan YB Menteri Dalam Negeri untuk mengkaji semula keperluan untuk memperbaharui lesen tahunan bagi media cetak, yang secara tidak langsung akan menghapuskan sekatan birokratik yang mengekang kebebasan mereka. Pada masa yang sama, para wartawan baru, termasuklah wartawan blog dan laman berita Internet, perlu juga membina keupayaan mereka dengan menjalani latihan profesional sepertimana yang dilakukan oleh wartawan baru media arus perdana. Ini akan mendedahkan mereka kepada perkara-perkara asas kewartawanan, seperti kewartawanan yang beretika, dan undang-undang mengenai penyebaran fitnah dan berita palsu, bagi melahirkan wartawan yang bertanggungjawab.

Apabila industri media mempunyai keupayaan yang lebih tinggi dari aspek profesionalisme yang turut melambangkan sikap bertanggungjawab, maka peranan penyeliaan media itu boleh diserahkan oleh Kerajaan kepada badan yang bebas. Model Suruhanjaya Aduan Media yang wujud di beberapa negara, boleh memastikan laporan yang adil dan beretika dan mencegah sebarang berita yang menghasut, menghina atau menimbulkan kemarahan pelbagai pihak. Jika mekanisma ini boleh diwujudkan dan penyeliaan media boleh dibuat secara bebas tanpa menggugat keharmonian dan keselamatan awam, dan jika industri media serius untuk membina keupayaan dan kemahiran mereka demi kewartawanan yang beretika, adil dan bertanggungjawab, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan boleh dimansuhkan.

Tuan Yang Dipertua,

Saya percaya semua pihak bersetuju bahawa matlamat Kerajaan dalam memberikan subsidi adalah untuk mengurangkan beban rakyat yang kurang berkemampuan serta memangkin pertumbuhan sektor strategik negara. Kerajaan membayar pelbagai subsidi dengan jumlah yang amat besar, di mana untuk tahun 2007 sahaja ia telah menjangkau lebih RM33 bilion.

Sememangnya peruntukan subsidi adalah lebih wajar dimanfaatkan untuk sektor strategik dan golongan berpendapatan rendah. Sebagai contoh, sektor pertanian di mana-mana negara mendapat subsidi yang tinggi kerana dianggap sektor yang penting. Di Malaysia, subsidi untuk sektor pertanian, walaupun menelan belanja yang besar, wajar diteruskan memandangkan dasar keselamatan makanan atau food security menjadi antara keutamaan Kerajaan.

Tetapi pada masa yang sama, sistem subsidi negara perlu dikaji semula dan dirombak kerana matlamat mungkin tidak menepati sasaran. Sebagai contoh, subsidi untuk petrol diberi kepada semua tanpa mengira kemampuan. Siapa sahaja yang mengisi petrol di Malaysia dengan apa jua jenis kenderaan mendapat kadar subsidi yang sama. Sistem ini tidak selaras dengan keadilan ekonomi atau economic justice di mana bantuan sepatutnya diberi kepada rakyat yang tidak berkemampuan. Adalah sesuatu yang amat tidak adil jika rakyat yang membawa kereta yang mahal dan berkuasa tinggi mendapat kadar subsidi yang sama dengan mereka yang membawa kenderaan yang lebih sederhana. Malah sebenarnya, pemilik kereta besar mendapat subsidi yang lebih, kerana keperluan petrol mereka pastinya jauh lebih tinggi daripada mereka yang memiliki kenderaan berkuasa rendah dan sederhana; yakni sasaran sebenar sistem subsidi.

Ketidakadilan ini perlu diperbetulkan segera. Salah satu cara, yang pastinya memerlukan penelitian dari segi perlaksanaannya, adalah untuk memperkenalkan sistem kuota bagi setiap pemilik kenderaan menikmati petrol bersubsidi sepenuhnya tiap-tiap bulan. Pengguna yang melebihi kuota tersebut akan membayar harga yang lebih tinggi mengikut kadar progresif yang ditetapkan. Pemilik kereta dan motosikal berkuasa rendah juga boleh diberi kuota yang lebih atas falsafah bantuan secara progresif – yang tidak mampu dibantu lebih daripada yang mampu. Perubahan ini boleh membawa penjimatan besar kepada Kerajaan yang boleh diguna untuk pembangunan di kawasan-kawasan luar bandar terutamanya di Sarawak dan Sabah.

Kerajaan juga perlu segerakan pembangunan enjin hybrid yang menjimatkan pengunaan petrol melalui program pembangunan enjin Campro dibawah Petronas. Sementara itu, kerajaan perlu kaji perlepasan penuh duti import dan eksais bagi kereta asing berkuasa hybrid tersebut kerana lebih jimat petrol dan mesra alam sekitar.

Tuan Yang Dipertua,

Isu harga minyak bukan hanya merupakan isu ekonomi tetapi turut dibahaskan dari sudut politik. Sentimen rakyat mudah sekali dibakar dengan janji manis dan sejarah yang diputarbelit. Semasa pilihanraya umum, pembangkang telah memancing undi dengan janji untuk menurunkan harga minyak. Penasihat PKR dengan bangganya mengingatkan rakyat semasa beliau menjadi Menteri Kewangan selama lapan tahun, tak pernah ada peningkatan harga petrol. Pandailah konon. Memang dasar lidah bercabang. Dia lupa nak bagi tahu, semasa beliau menjadi Menteri Kewangan, harga minyak mentah di pasaran dunia hanya diantara AS$12 dan AS$26 setong. Hari ini harga pasaran dunia sudah melepasi AS$120 setong. Apa yang susah sangat pada zaman beliau? Harga minyak dunia amat rendah.

Janganlah nak mendabik dada walhal sebenarnya menipu rakyat. Bagi saya, pencapaian Kerajaan yang berjaya mengekalkan harga petrol pada tahap di antara yang paling rendah di ASEAN dalam keadaan harga pasaran dunia yang tidak pernah terjangka ini, merupakan pencapaian yang jauh lebih membanggakan daripada apa yang Penasihat PKR mampu buat semasa harga minyak dunia begitu rendah – itu belum cerita lagi tentang kegagalan beliau untuk menangani krisis kewangan 1997 – an absolute failure, dengan izin.

Sebagai seorang ahli Dewan yang datang daripada generasi muda, saya juga ingin menyentuh tentang kedudukan rizab minyak negara yang dikatakan akan habis dalam 10 tahun, dan dalam masa dua tahun lagi Malaysia akan menjadi net importer of oil. Bercakap tentang hal ini, saya masih tidak faham dengan cadangan Pembangkang untuk mengguna sebahagian daripada keuntungan Petronas untuk menurunkan harga minyak. Mengikut penyata kewangan Petronas pada tahun 2007, Kerajaan mendapat RM48.3 bilion dalam bentuk cukai, dividen dan royalti daripadanya. Jumlah ini merupakan 66.2% dari keuntungan kasar Petronas. Wang ini masuk terus sebagai bajet pembangunan Kerajaan yang membiayai pelbagai projek pembangunan. Baki daripada keuntungan tersebut antaranya diguna untuk operasi carigali di negara-negara asing untuk mendapatkan rizab baru.

Adakah salah bagi Petronas untuk menjaga masa depan negara dengan memastikan bahawa apabila rizab tempatan sudah habis, apabila telah kering telaga minyak Negara, kita sekurang-kurangnya masih boleh berkongsi sedikit manfaat dari rizab asing yang digali oleh Petronas? Takkan kita begitu dangkal dan cetek pemikiran, tidak langsung memikir dan menghiraukan legasi kita kepada generasi akan datang? Saya rasa demi ketelusan, untuk membuktikan bahawa Kerajaan dan Petronas tidak menyembunyikan apa-apa daripada rakyat, satu taklimat khas perlu diadakan di Parlimen dimana penyata kewangan lengkap dibentangkan agar kedudukan kewangan serta saluran keuntungan Petronas dapat difahami dengan jelas oleh semua wakil rakyat.

Tuan Yang Dipertua,

Kenaikan harga minyak dan harga makanan di seluruh dunia sememangnya membimbangkan. Rakyat Rembau juga resah mendengar berita yang tersebar luas berhubung krisis ini. Di Mesir, dua orang terbunuh kerana berebut sekeping roti. Rusuhan yang berpunca daripada makanan terjadi di banyak negara seperti Burkina Faso dan Cameroon. Menurut satu kajian yang dilakukan oleh Kuwait Finance House, harga makanan sedunia telah meningkat sebanyak 83 peratus dalam tempoh tiga tahun terakhir ini.

Malaysia amat bertuah kerana walaupun krisis makanan melanda seluruh dunia, rakyat kita masih mampu untuk membeli barangan makanan, walaupun mungkin tidak semewah dahulu. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Kerajaan kerana begitu berpandangan jauh, dengan usaha untuk memodenkan sektor pertanian beberapa tahun yang lepas, sebelum krisis makanan ini terjadi. Keputusan Kerajaan untuk melaksanakan dasar beteraskan pertanian ini terbukti keberkesanannya. Merujuk kepada laporan Bank Dunia, World Development Report 2008: Agriculture for Development, pakar-pakar ekonomi sedunia mengakui pertanian sebagai satu kaedah penting dalam membasmi kemisikinan dan menyediakan pembangunan yang mapan.

Namun begitu, rakyat mahukan kepastian dari Kerajaan sama ada negara kita bersedia untuk menghadapi kemelut yang belum pernah dihadapi ini. Pada saat dan ketika ini, tahap sara diri komoditi makanan masih belum berada pada keadaan yang memuaskan. Sebagai contoh, mengikut data 2007, peratusan sara diri beras hanya pada kadar 72%, sayur-sayuran 89%, daging lembu 25% dan daging kambing 9%. Ini bermakna Kerajaan masih lagi perlu bergantung kepada import barangan makanan dari luar untuk menampung keperluan makanan negara. Hanya daging ayam dan daging khinzir yang melepasi kadar 100% tahap sara diri. Itu pun tak cukup bagi satu Kerajaan Negeri yang telah meletakkan keutamaan nombor satu pentadbirannya kelulusan Projek Khinzir Raksasa atau singkatannya PKR.

Dalam memerangi krisis makanan ini, langkah Kerajaan untuk memperuntukkan lebih banyak dana untuk membuka kawasan-kawasan penanaman padi baru amat dialu-alukan. Namun, pembukaan kawasan-kawasan baru ini perlu juga disusuli dengan peningkatan hasil. Kadar purata hasil padi negara berada pada tahap 3.5 tan sehektar. Namun, tanah Malaysia yang subur ini terbukti mampu menghasilkan purata pengeluaran yang jauh lebih tinggi seperti 6 hingga 7 tan sehektar di MADA, manakala di Sekinchan 10 hingga 11 tan sehektar. Jika kita dapat meningkatkan purata pengeluaran sebanyak 20 hingga 30% dengan menggunakan tanah yang sedia ada, kita tidak akan menghadapi masalah kekurangan beras.

Mungkin punca perbezaan ketara ini ialah aspek pengurusan pertanian yang kurang efisyen. Sebagai contoh, penggunaan teknologi seperti transplanting machine yang dapat membantu petani untuk mengadakan satu sistem yang lebih teratur perlu diperbanyakkan. Dengan adanya sistem seperti ini, petani tidak lagi berhadapan dengan masalah penaburan benih yang tidak serata, masalah lalang dan sebagainya.

Tuan Yang Dipertua,

Telah terlalu banyak kali disebut tentang kononnya berlaku tsunami politik pada 8 Mac lalu. Istilah tersebut seolah-olah sudah menjadi perkataan ruji ahli-ahli Pembangkang. Mereka tuduh kononnya pemimpin BN sombong dan elit. BN diminta untuk mecerminkan diri. Akan tetapi, baru dua bulan bergelar Yang Berhormat, siapa yang riak dan takbur nadanya dalam Dewan yang mulia ini? Siapa yang begitu angkuh, hingga akal tak cecah ke langit, kaki tak jejak ke bumi, dalam meramal dan mewar-warkan bahawa mereka akan berkuasa di Putrajaya dalam tempoh tak beberapa bulan lagi? Siapa sebenarnya kini ingin membelakangkan prinsip demokrasi dengan menawarkan ahli BN untuk melompat parti, dengan membentuk Kerajaan melalui pintu belakang? Siapa sebenarnya yang tidak berani melihat wajah sendiri?

Mereka tidak berani kerana apabila dicermin, refleksi yang jelas terlihat adalah satu pakatan kononnya, tetapi dengan persefahaman yang begitu rapuh dan tidak kukuh. Pakatan yang dibuat ternyata begitu lemah, umpama retak menanti belah. Saling meragui sama sendiri, khuatir ditikam sama sendiri. Sebab itu saya istilahkan Pakatan Rakyat ini sebagai Pakatan Public Relations atau PR. Penggabungan pembangkang ini hanya PR. PAS dengan DAP hanya PR. Supaya di mata rakyat nampak cantik, nampak menarik, nampak kukuh. Tapi yang sebenar-benarnya, yang tersirat di dalamnya, dalam perkara asas atau fundamental, jelas tiada persefahaman.

Saya sebenarnya rasa amat sedih dan hairan apabila soalan saya tentang kontrak sosial kepada ahli dari Bachok yang juga Timbalan Presiden PAS tidak dijawab. Oleh itu, saya rasa adalah tidak salah sekiranya satu kesimpulan di tawarkan diatas keengganan PAS ini – bahawa PAS yang sering menampilkan dirinya sebagai parti Islam yang gagah, nampaknya sudah kehilangan taring, umpama singa tidak bergigi, takut dengan dalang yang diajak bersekongkol. Soalan saya sama ada PAS setuju dengan kenyataan ahli dari Ipoh Timor yang meminta kontrak sosial dikaji semula dan menidakkan perbezaan antara Bumiputera dan bukan Bumiputera, Islam dan bukan Islam, dibiar tidak bersahut, hanya berlalu ditiup angin. Umpama bercakap dengan dinding. Sepi ini jugalah suasananya apabila ahli dari Bukit Gelugor menghina institusi Raja Melayu di Dewan yang mulia ini.

Kalau setuju katakan setuju, kalau tidak, jawab sahaja tidak. Tetapi pemimpin jenis apakah ini, yang dalam perkara asas negara sebegini, beliau membisu seribu bahasa sebaliknya mencari helah untuk tidak bersuara? Kalau sampai soal kontrak sosial pun PAS sudah takut nak jawab, apa gunanya dengan PR kalau bukan sekadar untuk Public Relations? Kami di sebelah sini pun tidak sempurna, ada kelemahannya. Yalah, siapa yang tidak ada kelemahan. Namun, selagi Barisan Nasional memegang Kerajaan Persekutuan, kontrak sosial yang termaktub dalam Perlembagaan, yang menjadi asas kepada Tanahair kita, akan kita pertahankan tanpa segan silu, tanpa galang gantinya, walau perlu berkalang leher. Bila saya tanya tentang keseragaman dasar tender terbuka dan penghapusan DEB, Ipoh Timor tak jawab. Sebaliknya dia serang peribadi saya. Kenapa? Tak faham atau tak erti nak jawab soalan. Atau sekadar menggunakan taktik diversion untuk mengelak dari menghadapi isu sebenar yang cuba saya bangkitkan? Kenapa PR tak boleh bagi komitmen untuk menghapuskan DEB di semua Negeri pentadbirannya agar lebih seragam dan konsisten?

Itu baru kontrak sosial, belum masuk lagi satu perjuangan asas PAS, iaitu isu Negara Islam. PAS bila sudah menjadi rakan kongsi kecil atau junior partner dalam PR, perjuangan Negara Islam pun dah tak boleh sebut langsung. Takut dengan DAP, takut kena langkah mayat dulu. Takut nak tegur Bukit Gelugor yang mempertikaikan kuasa Sultan sebagai ketua agama Islam dalam kes Ketua Pengarah Jabatan Agama Islam Perak. Ini semua adalah soalan pokok yang mesti dijelaskan sekiranya PR bukannya sekadar Public Relations.

Dah namanya pakatan. Semua perkara kenalah sepakat. Lagi pula sekarang ini kononnya dah jadi Kerajaan menunggu atau government-in-waiting tapi perkara asas seperti ini pun tak boleh jawab. Apa akan jadi kepada Malaysia dibawah sebuah Kerajaan yang bukan tahu memerintah, tetapi sebaliknya mencipta polisi untuk ber-PR sahaja?

Negara berlandaskan PR akan berpecah mengikut citarasa masing-masing. Kalau macam tu tak ubahlah macam di zaman penjajah, mengamalkan sistem pecah dan perintah. Ikut suka dan cara masing-masing. Negara Islam di Kelantan dan Kedah; Malaysian Malaysia di Penang; kerajaan boneka di Perak dan projek babi di Selangor. Walaupun tidur satu katil, satu tilam, satu bantal tapi mimpi lain-lain. Ada yang mimpi flying carpets dengan serban, ada yang mimpi flying rockets dan ada yang mimpi flying pigs.

Perkara ini saya sebut kerana kita diberitahu bahawa PR akan mewujudkan Kerajaan Persekutuan sebelum 16hb September, 2008. Rakyat di Rembau nak tahu bagaimana rupa bentuk dan apa pendirian Kerajaan PR nanti. Sekarang ini terlalu banyak percanggahan, terlalu banyak perkara yang tidak konsisten. Pembangkang menunding jari kepada Kerajaan, tuduh Kerajaan BN tidak menunaikan janji. Tapi kerajaan campuran negeri Selangor baru dua bulan memerintah pun dah mula menujukkan ketidakmampuan untuk memenuhi apa yang telah dijanjikan. Kalau benar mereka telus dan adil, kenapa rayuan rakyat menolak projek babi tidak didengar? Dalam manifesto bukan main manis janji, kononnya nak turunkan cukai pintu. Hari ini bila dah ada kuasa, bila tanggungjawab dah terbeban di bahu, tak boleh buat pula. Macam-macam alasan diberi. Kalau pandai sangat, kononnya Menteri Besarnya seorang tokoh yang berpengalaman luas, yang pernah mengetuai dawn raid atas syarikat Guthrie, kenapa susah sangat nak menunaikan janji? Adakah kerana janji-janji itu semua sekadar janji pilihanraya pembangkang, yang dibuat tak guna akal, tidak realistik, populis, pakai hentam sahaja?

Pembangkang juga suka mendabik dada mengatakan mereka lebih baik dari Kerajaan, lebih adil dari Barisan Nasional. Mereka menuduh Kerajaan Persekutuan kononnya tidak memberi peruntukan kepada kawasan dan negeri di bawah PR. Lalu saya tanya Batu Gajah, kalau betul PR lebih baik daripada BN, maka tunjukkanlah teladan yang baik, bagi peruntukan kepada semua wakil rakyat tak kira parti di negeri-negeri PR. Tapi jawapan yang diberi tidak ada asas, tersasar dari landasan. Pada sesi taklimat Ahli Parlimen sebulan yang lepas, ada wakil pembangkang minta Kerajaan Persekutuan bagi peruntukan kepada semua ahli atas dasar keadilan. Semua wakil pembangkang tepuk. Tapi tak sampai beberapa minggu selepas itu, kerajaan campuran negeri Selangor mengumumkan peruntukan RM500,000 hanya untuk ADUN PR. Adil ke itu? Cakap tak serupa bikin. Ini baru dua bulan memerintah, dah pandai tipu dan memutar belit. Kalau Kuala Krai kata power corrupts and absolute power corrupts absolutely, tindakan PR ini membuktikan bahawa even a little power corrupts very quickly.

Tuan Yang Dipertua,

Rembau pohon menyokong