Saturday, August 23, 2008

PELUANG BN MAKIN CERAH

Oleh Ahmad Zaini Kamaruzzaman

Anwar semakin tertekan, laluan ke Parlimen tak mudah WALAUPUN agak lesu, riak muka petugas Barisan Nasional (BN) kelihatan ceria menjelang dua hari lagi hari mengundi Selasa ini. Apabila ditanya peluang menewaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim, mereka agak cuak memberikan jawapan. Mungkin kerana belum ada tanda-tanda yang meyakinkan mereka untuk menang.

Memang banyak pihak tidak yakin BN mampu menggugat Anwar, namun selepas seminggu berkempen, peluang untuk menang dikatakan cerah. Kelmarin, kedudukan kelabu di sesetengah kawasan dilaporkan bertukar kepada putih. Namun, kedua-dua pihak menyatakan keyakinan untuk menang, tetapi kali ini dilihat Anwar lebih banyak bertahan akibat kempen agresif BN.
Anwar dilaporkan semakin tertekan. Air mukanya jelas menggambarkan laluan ke Parlimen tidak semudah yang disangka sebelum ini, apatah lagi untuk menjadi Perdana Menteri menjelang 16 September.

Jika sebelum ini beliau yakin peluang di Permatang Pauh lebih cerah berbanding di Bandar Tun Razak dan Gombak, keadaan semasa di kubu kuatnya sudah mulai goyah. Satu demi satu peluru yang dihalakan kepadanya perlu ditepis dan sokongan semakin pudar. Sebanyak 69 peratus pengundi Melayu daripada keseluruhan 58,459 pengundi, termasuk kira-kira 4,000 ahli Pas sudah mula berbelah bahagi. Keyakinan mereka terhadap Anwar semakin merosot sehingga ada yang tidak mahu mengundi PKR kerana yang bertanding ialah Anwar dan bukan isterinya Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail.

Pelbagai pendedahan terhadapnya termasuk isu peribadi, pembohongan serta dasar yang akan dilaksanakan jika menjadi Perdana Menteri juga amat dibimbangi menjadi kenyataan bukan saja di kalangan pengundi Permatang Pauh, malah kebanyakan rakyat. Anwar makin tergugat apabila Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak malam kelmarin secara terbuka mengulangi sumpah tidak mengenali Altantuya Shaaribuu bagi menafikan tuduhan Anwar kononnya Najib terbabit dalam kes kematian wanita Mongolia itu.

Kali ini beliau mengulanginya dalam Masjid Kampung Guar Perahu. Sebelum ini, bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan melafazkan sumpah diliwat Anwar, juga dalam masjid di ibu negara. Justeru, ramai yang menanti bila Anwar akan melafazkan sumpahnya bagi menafikan dakwaan Mohd Saiful Bukhari. Anwar kini berada di persimpangan. Kegagalannya menyahut cabaran Mohd Saiful bermakna beliau takut 'dimakan sumpah' walau apa pun alasan yang diberikannya. PKR pasti menyedari isu itu menggugat keyakinan pengundi Melayu, terutama penyokong Pas dan pengundi atas pagar. Tinggal dua hari lagi tempoh berkempen, Anwar perlu berusaha lebih gigih untuk meyakinkan mereka.

Majoriti undi 13,388 yang dimenangi Dr Wan Azizah pada pilihan raya umum lalu tidak boleh dijadikan sandaran oleh Anwar untuk mengulangi kejayaan PKR. Tambahan pula pilihan raya kecil berbeza dengan pilihan raya umum kerana jentera BN digerakkan secara maksimum. Maka tidak hairan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut dikerah ke Permatang Pauh untuk mengembalikan keyakinan pengundi Melayu kepada Pakatan Rakyat, terutama penyokong Pas yang dikatakan tidak mahu mengundi Anwar.

Begitu juga Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang dijangka membuat kemunculan malam ini. Kaedah sama pernah digunakan pembangkang pada pilihan raya kecil DUN Lunas, di Kedah pada 2000 apabila kehadiran Nik Aziz dan Lim Kit Siang pada saat akhir membolehkan kemenangan memihak kepada calon Keadilan, Saifuddin Nasution Ismail.

Begitu juga di Anak Bukit beberapa tahun selepas itu apabila Pas menang pilihan raya kecil itu, tetapi tewas di Pendang. Berikutan itu, BN walaupun dikatakan mampu mengejutkan Anwar, perlu menggunakan sepenuhnya baki berkempen dua hari ini untuk meraih sokongan. Undi 25 peratus pengundi Cina dan enam peratus pengundi India perlu diraih sebanyak mungkin sambil berhadapan sebahagian besar daripada 13,388 pengundi yang memihak kepada Dr Wan Azizah sebelum ini memilih Datuk Arif Shah Omar Shah sebagai wakil rakyat mereka.

No comments: