Oleh Wartawan Utusan
TIDAK sampai 30 minit selepas Datuk Arif Shah Omar Shah diumumkan untuk menggalas cabaran Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil kerusi Parlimen Permatang Pauh kelmarin, nada pesaingnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sebelum ini begitu melaung-laungkan kemenangan besar berubah sama sekali.
"Majoriti undi yang besar pun tak pa, majoriti yang kecil pun tak pa, yang penting kita capai kemenangan," kata Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu ketika berucap pada ceramah umum di Kampung Kota, Permatang Pasir dekat Bukit Mertajam pada pukul 10.35 malam.
Semasa pelancaran jentera PKR kira-kira sejam sebelum itu di Markas Yayasan Aman, juga di Bukit Mertajam, beliau turut mengingatkan para penyokong parti itu supaya jangan begitu selesa dengan keyakinan bahawa PKR akan menang besar.
Nada kedua-dua majlis yang dihadiri An- war itu hanya dipisahkan masa satu jam 30 minit selepas pengumuman pencalonan Arif Shah oleh Pengarah Jentera Pilihan Raya BN, Datuk Seri Najib Tun Razak yang turut menyaksikan pelancaran jentera pilihan raya BN di Hotel Sunway, Butterworth.
Pemilihan Arif Shah, 52, ironinya mengejutkan Anwar dan kepimpinan PKR yang lain. Naib Presiden PKR yang juga Pengarah Pilihan Raya PKR Pusat, Azmin Ali dikatakan tidak menyangka Arif akan terpilih. Mereka sangkakan calon yang mengetuai UMNO bahagian. Sebelum ini Azmin dikatakan terlalu yakin PKR akan mencapai majoriti melebihi 20,000 undi ke atas BN di Permatang Pauh.
Suasana pengumuman Arif Shah di pusat konvensyen di Hotel Sunway kelmarin juga memberangsangkan. Najib ketika berucap memberitahu, pada awalnya sebelum turun ke Hotel Sunway, beliau dimaklumkan oleh Pengerusi BN Pulau Pinang, Tan Sri Dr. Tsu Koh Tsu Koon menerusi Sistem Pesanan Ringkas (sms) bahawa jumlah hadirin ke majlis itu hanya 200 orang.
"Saya pun bertanya pada diri apa sudah jadi, takkan hendak lancar jentera pilihan raya hanya sekitar 200 orang sahaja yang hadir. Tapi bila turun ke sini rupa-rupanya ramai... lebih 2,000 orang," kata Najib.
Semalam, Arif Shah yang umum khususnya masyarakat Permatang Pauh memahami 'hemoi'nya mensasarkan dua agenda utama untuk penduduk di kawasan itu jika terpilih sebagai wakil rakyat mereka.
Ahli Dewan Undangan Negeri Seberang Jaya itu berkata, usaha untuk meningkatkan perpaduan semua kaum di Permatang Pauh menjadi agenda utamanya selain mencari jalan untuk mengatasi masalah kemiskinan penduduk di kawasan Parlimen itu.
"Penduduk di Permatang Pauh seolah- olah terkena sumpahan sejak kerusi Parlimen itu jatuh kepada pembangkang pada 1999 dengan tiada sebarang pembangunan dapat dizahirkan di situ. Juga, tidak ada perhubungan akrab terjalin antara penduduk di situ dengan wakil rakyat mereka.
"Jadi, sudah sampai masanya kita menebus balik sumpahan ke atas Permatang Pauh dengan memberi peluang kepada saya sebagai kuli untuk berkhidmat kepada rakyat supaya Permatang Pauh kembali bersinar," katanya.
Mengenai peluangnya berdepan dengan Anwar, Arif yang juga Ketua Pemuda UMNO Permatang Pauh ketika Anwar menerajui UMNO bahagian itu menaruh keyakinan mampu merampas kembali kerusi Parlimen itu hasil sokongan padu semua kaum di situ walaupun dengan majoriti yang tidak besar.
"Ketika ini ramai wakil rakyat yang memegang jawatan sebagai ADUN dan anggota Parlimen. Saya rasa tidak ada masalah untuk saya memberi khidmat terbaik kepada penduduk di dua-dua kawasan itu," katanya.
Arif Shah mula terpilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Seberang Jaya pada pilihan raya umum 2004 setelah mengalahkan calon PKR Dr. Mansor Othman dengan majoriti 4,464 undi.
MenewaskanPada pilihan raya umum Mac lalu, beliau mengekalkan kerusi DUN itu untuk penggal kedua setelah menewaskan calon PKR, Ramli Bulat dengan majoriti 533 undi.
Ditanya kemungkinan penyokong dan calon BN yang tidak terpilih akan mensabotaj beliau pada pilihan raya kecil nanti, Arif Shah berkata: "Saya percaya semua di Permatang Pauh akan membantu saya dan saya tidak menyimpan dendam kepada sesiapa."
Sebelum ini beberapa nama disebut-sebut bakal dipilih sebagai calon BN termasuk Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Datuk Abdul Jalil Abdul Majid, Timbalannya Datuk Pirdaus Ismail dan pendakwah bebas Datuk Shamsuri Ahmad.
Ketika namanya diumumkan sebagai calon Rabu lalu, Arif Shah, yang duduk di barisan belakang di pentas utama, bangun dari kerusinya lalu menerpa ke arah Abdul Jalil yang duduk sebaris dengan Najib di hadapannya lalu memeluk beliau sambil menitiskan air mata.
Selepas itu, Pirdaus dilihat mara ke arahnya dan turut memeluk beliau sebelum Arif mengangkat tangan Abdul Jalil dan Pirdaus sebagai tanda bekerjasama dan persefahaman antara mereka.
Antara kelebihan Arif Shah ialah beliau disegani oleh musuh dan rakan kerana bekerja tanpa mengira kaum dan fahaman politik. Malah beliau juga telah banyak menyelesaikan masalah tempatan yang dihadapi oleh para penyokong PKR sendiri.
"Pemilihan Arif adalah kerana mengambil kira faktor kemenangannya di DUN Seberang Jaya dan faktor setempat", kata Najib.
Arif Shah adalah seorang yang mengetahui strategi politik Anwar kerana beliau pernah menjadi Ketua Pemuda UMNO Bahagian Permatang Pauh ketika Anwar menerajui bahagian itu.
Beliau juga lebih mengenali pengundi di Permatang Pauh berbanding Anwar kerana Arif Shah yang tinggal di Seberang Jaya sentiasa berada di kawasannya dan turut menjalankan kerja-kerja membantu rakyat di ketiga-tiga DUN di Permatang Pauh setelah kesemua wakil rakyat BN yang lain tewas.
Anwar ketika berucap di Kampung Kota, Permatang Pasir kelmarin berkata, beliau tidak kisah siapa yang menjadi pencabarnya pada pilihan raya kecil itu nanti.
"Saya tak kisah siapa calon yang ditentukan oleh pihak sebelah sana (BN). Saya bukan nak gaduh dengan Arif Shah. Kalau dia nak bertanding itu hak dia. Lagipun dia dah menang kawasan Seberang Jaya," katanya.
Arif Shah, yang menerima pendidikan di sekolah rendah dan menengah jenis kebangsaan Cina, melahirkan keyakinannya untuk memenangi kerusi itu walaupun dengan majoriti yang kecil.
"Saya yakin menang walaupun dengan majoriti yang kecil kerana saya mendapat sokongan rakyat dari semua kaum," katanya yang fasih bertutur dalam bahasa Mandarin dan Hokkien.
Sudah tiba masanya BN menebus semula kekalahan selama tiga kali di Parlimen Permatang Pauh. Malah pengundian pada 26 Ogos ini diyakini akan membawa perubahan yang sangat diharapkan oleh masyarakat setempat.
No comments:
Post a Comment