Oleh Aspirasi Bangsa
Impak Krisis Makanan
Kenaikan mendadak harga makanan menyebabkan berjuta penduduk berada dalam kelaparan dan ketidakstabilan politik. Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menganggarkan lebih 100 juta orang tidak mampu membeli makanan. Tekanan kenaikan harga makanan itu juga boleh menyebabkan rusuhan dan peperangan berlaku. Hingga kini, Haiti, Tahiti, Mesir, Ivory Coast dan Filipina menghadapi suasana runcing ekoran rakyatnya mendesak supaya pemimpin meletakkan jawatan, mengambil langkah drastik menangani krisis makanan.
Punca Krisis Makanan
Krisis makanan berkait rapat dengan kenaikan harga minyak yang diniagakan dalam pasaran hadapan. Sebagai komoditi utama, minyak menjadi bahan spekulasi oleh negara-negara maju sehingga menyebabkan sebahagiannya berfikir untuk beralih kepada bahan bakar yang mesra alam. Bijirin dikenal pasti sebagai bahan mentah yang berpotensi untuk dimajukan sebagai bahan api bio yang mesra alam. Kesan daripada kesedaran tersebut menyebabkan Amerika Syarikat menetapkan sasaran pada tahun 2012, menggunakan 7.5 bilion gelen biodiesel berbanding pada tahun 2006 enam bilion gelen. Para pelobi etanol dijangka terus mendesak supaya meningkatkan penggunaan kepada 12 bilion gelen pada tahun 2010 dan 35 bilion gelen pada tahun 2017. Peningkatan ini menyebabkan berlakunya persaingan terhadap harga bijirin termasuk jagung, gandum, kelapa sawit, tebu dan terakhir ialah beras. Sebanyak 30 peratus bijirin yang dihasilkan disalurkan untuk menghasilkan bahan api bio. Amerika Syarikat memberikan subsidi yang besar kepada petaninya yang menghasilkan bijirin dan menjualnya kepada pengilang etanol.
Kesan/Punca Kenaikan Harga Bijirin
Persaingan harga bijirin untuk digunakan sebagai etanol telah menyebabkan masyarakat dunia mengubah tabiat mengambil makanan rujinya. Mereka yang menggunakan gandum, soya dan jagung beralih kepada beras memandangkan harga lebih murah berbanding bijirin lain. Keadaan ini menyebabkan berlakunya pembelian panik dalam kalangan masyarakat dunia dan seterusnya membawa kepada manipulasi pasaran oleh peniaga. Dengan bersandarkan alasan peningkatan permintaan oleh China dan India disebabkan kepesatan pertumbuhan ekonomi menjadikan mereka lebih banyak memerlukan makanan, perubahan iklim global menyebabkan kekurangan pengeluaran, larangan dan pengurangan eksport oleh negara pengeluar telah memberikan tekanan harga ke atas beras dunia.
KENAIKAN HARGA BERAS
Kadar Purata Penggunaan Beras Sehari Bagi Seorang Individu;
Bekalan Beras Dunia Mencukupi
Beras merupakan makanan ruji kepada lebih tiga suku penduduk dunia yang dianggarkan 6.6 bilion (sehingga Mei 2008). Berdasarkan statistik pengeluaran beras, sebanyak 422.9 juta tan metrik berjaya dituai pada akhir musim 2007/2008 (sehingga Mac 2008) berbanding 418.2 juta tan pada akhir musim 2006/2007. Ini bermakna, kadar purata penggunaan beras ialah sebanyak 234 gram sehari bagi seorang individu (bersamaan secawan atau 16 sudu besar beras). Dari segi pengeluaran beras dunia, terdapat peningkatan sebanyak 1 peratus, iaitu 4.7 juta tan. Bagaimanapun dari segi pola penggunaan beras sedunia juga menunjukkan peningkatan dari 420 juta tan pada sesi 2006/2007 kepada 422.5 juta tan pada sesi 2007/2008 (berakhir Mac 2008). Jika dilihat dari perspektif pengeluaran dan penggunaan, tidak berlaku pengurangan bekalan beras dunia, malah mempunyai lebihan sebanyak 410,000 tan.
Kesan Kenaikan Harga Berganda Dalam Tempoh 4 Bulan
Kenaikan harga beras mula memuncak sejak Januari 2008 apabila harga beras gred B Thailand (dijadikan sebagai tanda aras harga beras dunia) meningkat dari USD$383 (RM1,206) pada bulan Januari 2008 kepada USD$1,100 (RM3,498) pada 5 April 2008 (iaitu kenaikan harga hampir 3 kali ganda dalam masa 4 bulan). Lonjakan kenaikan harga turut berlaku kepada beberapa jenis beras yang lain termasuk Beras Putih Vietnam 5% dari USD$352 (RM1,120) kepada USD$1,100 (RM3,498) - (lebih 3 kali ganda), Beras Putih Thai 5% dari USD$371 (RM1,180) kepada USD$1,100 (RM3,498) - (hampir 3 kali ganda), Beras Wangi Thai USD$645 (RM2,051) kepada USD$1,150 (RM3,657) - (hampir 1.8 kali ganda), Beras Pulut USD$581 (RM1,848) kepada USD$850 (RM2,703) - (hampir 1.5 kali ganda) dan Beras Basmathi (Pakistan) dari USD$810 (RM2,576) ke USD$1,470 (RM4,675) - (lebih 1.8 kali ganda). Peningkatan harga antara 46 peratus hingga melebihi dua kali ganda ini menyebabkan negara-negara pengeluar terutamanya Vietnam, Kemboja, Laos, Myanmar, India, USA dan Brazil melarang pengeksportannya bagi menjamin bekalan makanan untuk penduduknya mencukupi. Thailand yang merupakan negara pengeksport terbesar (32 peratus) mengehadkan jumlah eksport bagi membendung kekurangan bekalan domestik di samping menjamin tidak berlakunya rusuhan.
Sistem Kartel
Thailand mencadangkan agar negara pengeluar beras membentuk sistem kartel (iaitu persetujuan bersama pengeluar bagi meningkatkan keuntungan dengan mengurangkan persaingan) bagi menentukan harga beras dunia dan bukannya bergantung kepada harga pasaran yang sentiasa terdedah dengan spekulasi. Walaupun belum melarang pengeksportan beras, Thailand bercadang untuk mengurangkan campur tangan kerajaan dalam rundingan pembelian beras. Syarikat-syarikat pengeluar beras diberikan galakan dan kebebasan untuk berunding dengan bakal pembeli berdasarkan harga yang dipersetujui.
Kesengsaraan Rakyat Filipina Dan Bangladesh
Filipina yang menghasilkan beras sebanyak 10.4 juta tan hanya mampu menampung penggunaan domestik sebanyak 90 peratus manakala bakinya sebanyak 10% (1.66 juta tan) diimport. Disebabkan masalah kekurangan tanah yang sesuai untuk tanaman padi, bencana alam dan kenaikan harga beras telah menyebabkan rakyatnya membantah dan mendesak supaya Presiden Arroyo Macapagal meletakkan jawatan. Bangladesh yang menghadapi masalah bencana pada tahun lepas menyebabkan hampir 140 juta penduduknya hidup di bawah paras kemiskinan tidak mampu membeli makanan. Mereka membanjiri kawasan pembuangan sampah untuk mengutip 500 tan beras rosak yang dilupuskan sejak 2 Mei lalu. Beras tersebut merupakan sumbangan Pakistan kepada mangsa Taufan Sidr tetapi didapati rosak semasa dalam perjalanan dengan kapal sejak Januari lalu.
Energy Independence Act 2007
Kesan kepada pelobi alam sekitar yang mendesak supaya menggunakan sumber tenaga mesra alam menyebabkan Amerika Syarikat meluluskan Energy Independence Act 2007 pada tahun lalu. Akta tersebut meletakkan sasaran bahawa menjelang tahun 2022, sebanyak 16 bilion gelen bahan api bio dihasilkan dan menyebabkan petani-petani menggiatkan usaha menanam bijirin untuk tujuan tersebut. Dari segi ekonomi ia menyebabkan harga bijirin seperti jagung, kacang soya, gandum dan barli meningkat secara mendadak dan menyebabkan rakyatnya beralih kepada penggunaan beras sebagai makanan ruji. Amerika Syarikat juga turut menambahkan bekalan domestik berasnya dengan melarang eksport dan mengimportnya sebagai langkah strategik mengurangkan tekanan terlalu bergantung kepada petrol.
Manipulasi Dan Desakan Pengeluaran Etanol Dipertingkatkan
Peningkatan harga beras juga ada kaitan dengan manipulasi yang dibuat oleh kapitalis, terutamanya pelobi Amerika Syarikat. Pengilang etanol mendesak supaya penggunaan sumber tenaga itu terus dipertingkatkan melampaui sasaran, kerana lebih murah dan tidak mencemarkan alam sekitar. Tekanan pelobi ini menyebabkan permintaan terhadap beras meningkat dan berlakunya pembelian panik di kalangan sesetengah penduduknya. Penyebaran maklumat pembelian panik turut memberikan tekanan kepada negara-negara lain sehingga mencetuskan krisis global. Walau bagaimanapun, bagi menggambarkan kekurangan bekalan, Presiden George W. Bush menyalahkan India dan China kerana membuat permintaan yang tinggi disebabkan kepesatan pertumbuhan ekonominya. Disebabkan pertumbuhan ekonomi yang pesat, rakyat kedua-dua mempunyai banyak wang dan seterusnya meningkatkan permintaan terhadap bahan makanan. Bagi melindungi kesilapan tanggapan tersebut, Presiden George W.Bush mengumumkan dana krisis makanan dunia sebanyak USD$770 juta (RM2.5 bilion) bagi menyokong program bantuan dan pembangunan makanan dunia.
KENAIKAN HARGA BERAS DI MALAYSIA
Pengusaha Makanan Beralih Daripada Beras Hancur Kepada Beras Tempatan Super 15 Yang Lebih Murah Kerana Harganya Dikawal Oleh Kerajaan
Kenaikan beras di Malaysia mula berlaku sejak pertengahan Januari lalu apabila pihak pembuat makanan mendedahkan harga setan beras hancur meningkat kepada RM2,000 setan berbanding sebelumnya RM650 (iaitu lebih 3 kali ganda). Beras tersebut digunakan untuk membuat mi, mihun, kue tiau dan sebagainya. Apabila berlakunya kenaikan harga beras hancur, para pembuat makanan tersebut beralih kepada Beras Tempatan Super 15 (15% hancur) yang lebih murah. Harga Beras Super Tempatan 15 (ST15) dikawal oleh kerajaan dan ditetapkan antara RM1.65 hingga RM1.80 sekilogram. Dengan menggunakan beras ST15, pengusaha dapat menjimatkan kos bahan sebanyak RM200 hingga RM350 setiap tan yang digunakan. Ini menyebabkan pembelian yang tinggi terhadap beras ST15 memberikan tekanan kepada harga ke atas beras-beras yang lain (Beras Tempatan Super 10 dan Beras Tempatan Super 5) dan bekalan. Harga Beras Tempatan Super 10 (10% hancur) atau ST10, Tempatan Super 5 (hancur 5%) atau ST5 dan lain-lain tidak dikawal oleh kerajaan.
Pembungkusan Semula ST15 Kepada ST10 Dan ST5 Untuk Dijual Bagi Mengaut Keuntungan
Apabila harga beras ST10, ST5 dan lain-lain tidak dikawal, para pemborong dan peruncit bebas menetapkan harga menyebabkan berlakunya kegiatan salah di kalangan mereka. ST15 dibeli dengan banyaknya dan kemudian dibungkus kembali sebagai gred ST10 atau ST5. Dengan cara ini mereka boleh membolot keuntungan yang besar. ST10 dijual antara RM2 hingga RM2.40 sekilogram manakala ST5 dijual sehingga RM3.40 sekilogram. Melalui pembungkusan semula ini pemborong dan peruncit memperoleh keuntungan yang besar iaitu antara RM350 hingga RM1,200 bagi setiap tan (atau RM3.50 hingga RM12 bagi setiap 10 kilogram).
Harga Beras Di Malaysia Lebih Murah Berbanding Negara Jiran
Harga beras di Malaysia masih lagi murah berbanding dengan lain-lain negara termasuk Thailand. Harga beras ST5 di Malaysia adalah antara RM2 hingga RM2.50 sekilogram manakala di Thailand ialah RM3.50 hingga RM3.80. Harga di Singapura ialah RM5 sekilogram. Harga yang mahal di negara jiran menyebabkan berlakunya penyeludupan beras, terutamanya beras ST15. Keadaan ini menyebabkan berlakunya kekurangan bekalan di pasaran sehingga memaksa Bernas memasuki pasaran runcit bagi membantu golongan miskin. Penggunaan beras ST15 hanyalah 10 peratus sebelum ini, tetapi disebabkan oleh kegiatan tersebut menyebabkan berlakunya pembelian panik terhadap semua jenis beras. Ini memberikan tekanan kepada harga.
Pengeluaran Beras ST15 Ditingkatkan Daripada 11,000 Kepada 20,000 Tan Metrik Sebulan
Berdasarkan arahan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Bernas diminta meningkatkan pengeluaran beras ST15 kepada 20,000 tan sebulan berbanding sebelumnya ialah 11,000 tan. Peningkatan sebanyak 9,000 tan ini bagi menjamin bekalan mencukupi walaupun sebelum kenaikan harga beras, ST15 hanya merupakan 10 hingga 20 peratus keseluruhan keperluan beras. Bernas hanya membekalkan 45% keperluan beras manakala selebihnya dibekalkan oleh pembekal swasta. Namun demikian, bila krisis bekalan dan kenaikan harga beras berlaku, Bernas menjadi sasaran pihak-pihak tertentu atas dakwaan gagal memenuhinya.
Bernas Pengimport Tunggal Negara
Bernas merupakan sebuah syarikat yang mengambil alih peranan Lembaga Padi dan Beras Negara pada tahun 1976. Antara peranannya ialah menstabilkan harga padi dan beras, menampung pembelian lebihan padi yang dikeluarkan jika pihak pengilang swasta enggan membelinya, menyalurkan subsidi pertanian kepada petani dan menyediakan stok bekalan. Berdasarkan anggaran purata setiap penduduk menggunakan 77kg beras setahun (iaitu 210 gram sehari), negara memerlukan 2.2 juta tan bagi menampung keperluan penduduk Malaysia hampir 28 juta orang. Pengeluaran dalam negara sebanyak 1.527 juta tan dapat menampung keperluan sebanyak 73% manakala selebihnya sebanyak 640,000 tan diimport. Bernas diberikan tanggungjawab tunggal sebagai pengimport.
Peningkatan Jumlah Import Dan Jualan Tahun Ini Masih Tidak Dapat Menampung Keperluan Beras Negara;
Berdasarkan kenyataan Bernas, Januari hingga April Bernas telah mengimport 300,325 tan beras berbanding sebanyak 257,643 tan dalam tempoh yang sama tahun lepas (iaitu peningkatan import sebanyak 17%). Dari segi jualan pula Bernas telah menjual sejumlah 303,948 tan berbanding 221,421 tan dalam tempoh empat bulan pada tahun ini dan lepas. Peningkatan jualan sebanyak 37 peratus dilihat masih tidak dapat menampung keperluan beras. Hakikat ini sebenarnya bukanlah menjadi beban Bernas semata-mata, pihak pengilang swasta sepatutnya turut menggandakan pengeluaran beras bagi mencukupkan keperluan pasaran. Pihak pengilang swasta tidak berbuat demikian kerana mementingkan untung dan menunggu peluang untuk memasarkan beras dalam gred yang lain, di mana harganya tidak dikawal oleh kerajaan.
Pengilang Swasta Membungkus Semula Beras ST15 Demi Keuntungan
Sikap pengilang swasta inilah merupakan punca kekurangan bekalan kerana mengeluarkan beras ST15 bererti margin keuntungan adalah rendah. Adalah lebih menguntungkan jika ST15 tidak dikeluarkan manakala gred-gred yang lain dikeluarkan dengan banyak dan bebas menetapkan harga bagi mendapat margin keuntungan yang besar. Inilah sikap pengilang swasta seperti pernah berlaku ke atas harga gula kasar yang dikawal oleh Kerajaan manakala gula halus tidak dikawal. Pihak pengilang lebih berminat untuk mengeluarkan gula halus berbanding gula kasar kerana margin keuntungannya adalah lebih besar.
LANGKAH KERAJAAN
1. Meningkatkan kapasiti stok penimbal beras kebangsaan daripada 92,000 tan (bagi menampung keperluan selama 15 hari) kepada 550,000 tan (bagi menampung keperluan selama 3 bulan);
2. Membuat pemeriksaan dan pemantauan ke atas pemborong, pengilang dan penjual beras bagi mengekang aktiviti sorok, penyeludupan dan pembungkusan semula beras dari ST15 ke ST10 atau ST5;
3. Bernas berusaha untuk menyeragamkan semua jenama beras keluarannya bagi mengelakkan kekeliruan dan penipuan oleh pihak-pihak tertentu;
4. Meningkatkan subsidi pertanian untuk makanan terutama beras dan menggalakkan penghasilan setiap hektar daripada 3.1 tan kepada 5 tan. Subsidi bagi penanam padi bagi setiap hektar kini ialah RM240.10;
5. Mengkaji semula harga padi yang ditetapkan sebanyak RM650 setan bagi mendorong petani terus menanam padi;
6. Mempertingkatkan jumlah keluasan tanaman padi dengan membuka kawasan-kawasan baru (seperti Sarawak dan Sabah), memberikan TOL tanah-tanah terbiar kepada pengusaha yang berminat dan mengusahakan tanaman padi secara komersial (Terengganu berhasrat melaksanakannya dengan bantuan pihak swasta). Jumlah keluasan kawasan penanaman padi pada masa kini ialah 670,000 hektar. Jumlah ini telah menguncup sebanyak 4 peratus dalam masa 15 tahun disebabkan oleh saiz tanah yang tidak ekonomik, kekurangan kemudahan pengairan, tidak ada pengusaha, dijadikan kawasan petempatan (perumahan) dan industri, dan ditukarkan kepada tanaman lain (seperti tembakau, kelapa sawit dan sebagainya); dan
7. Menggalakkan pengguna tidak melakukan pembelian panik.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
Harga beras, harga minyaka dan segala macam harga-harga lain nie dispekulasi dan dimainkan oleh golongan tertentu yang memang faham sistem ekonomi dunia...
Good Article.... A lot of useful information
Post a Comment