Friday, July 25, 2008

TRANSKRIP DEBAT AGENDADAILY.COM

YB DATO’ AHMAD SHABERY CHEEK
MENTERI PENERANGAN MALAYSIA

&

Y.BHG DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM
PENASIHAT PARTI KEADILAN RAKYAT

TAJUK: HARI INI BENTUK KERAJAAN, ESOK TURUN HARGA MINYAK


PERANTARA: Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera. Debat AgendaDaily ini membawa tajuk ‘Hari Ini Bentuk Kerajaan, Esok Turun Harga Minyak’. Di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka, dua orang tokoh kami bawa khas untuk mendebatkannya. Debat ini mengambil masa sejam dan disiarkan secara langsung ke seluruh Negara.

Format debat ini telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak. Masing-masing juga telah menamakan seorang wakil yang bertindak sebagai ahli panel. Mereka akan menanyakan soalan kepada pendebat yang mencalonkan mereka selain soalan kepada pendebat yang seorang lagi. Jumlah soalan bergantung kepada keadaan masa. Saya sendiri akan menanyakan soalan kepada kedua-dua pendebat ini. Supaya berlaku adil, soalan yang sama akan ditanya kepada kedua-dua orang. Kedua-dua pendebat juga akan diberi peluang untuk bertanya satu sama lain.

Untuk pemula bicara atau opening statement setiap tokoh akan diberikan masa 4 minit. Loceng akan dibunyikan selepas 3 setengah minit. Setiap soalan lain mesti dijawab dalam masa kurang dari 3 minit atau loceng akan dibunyikan sebagai tanda peringatan. Setiap pendebat akan membuat penggulungan selama 3 minit.

Saudara penonton yang saya hormati sekalian, tugas saya hanyalah sebagai perantara. Maka itu, saya memohon kepada kedua-dua tokoh ini untuk mendebatkan isu ini secara terbuka, profesional dan beretika. Tanpa ragu-ragu, saya akan menegur mana-mana pihak ataupun pendebat yang menyimpang dari tajuk atau yang mengemukakan soal-soal yang tidak relevan dengan apa yang sepatutnya dibahaskan.

Dengan penuh hormat, saya ingin memperkenalkan kedua-dua tokoh pendebat kita malam ini. Di atas pentas itu, YB Dato’ Ahmad Shabery Cheek, Menteri Penerangan Malaysia dan di sebelah beliau ialah Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Penasihat Parti Keadilan Rakyat atau PKR. Dua orang tokoh yang menjadi wakil pendebat ialah di sebelah kanan saya, Tan Sri Datuk Dr Nordin Kardi, Naib Canselor Universiti Utara Malaysia dan Presiden Persatuan Universiti Malaysia dan di sebelah kiri saya, bagi pihak Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Saudara Zulkifli Sulong dari Akhbar Siasah.

Saya mulakan debat AgendaDaily bertajuk ‘Hari Ini Bentuk Kerajaan, Esok Turun Harga Minyak’ dengan mempersilakan Dato’ Seri Anwar untuk membuat opening statement selama 4 minit. Dipersilakan.

DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM: Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera. Terima kasih Datuk Johan dan AgendaDaily atas kesempatan ini. Dan penghargaan khusus kepada Dato’ Ahmad Shabery kerana memberikan ruang yang julung-julung kali diadakan.

Saya menerima pelawaan ini dengan senang hati untuk membuka wacana yang bebas dan segar. Walaupun pada peringkat awal saya memilih untuk berdebat dengan Perdana Menteri atau Timbalan, tetapi saya terima baik kerana saya nak menggunakan kesempatan ini untuk menjelaskan, kalau kesempatan Pakatan Rakyat memerintah hari ini, esok harga minyak tetap turun.

Saya cadangkan, berdasarkan perkiraan kekuatan makro ekonomi negara kita, pertumbuhan dan potensinya, penyusunan dan pengurusan pemerintahan yang lebih cekap dan bebas dari rasuah dan penyalahgunaan kuasa dan jumlah yang kita fikirkan untuk diturunkan dalam kadar segera sebagai langkah awal ialah 50 sen.

Maknanya mulai esok seandainya kita memerintah malam ini, harga minyak ialah RM2.20. Saya pertahankan hujah ini kerana beban rakyat itu sudah tidak terkawal. Petani, nelayan, pekerja, peniaga peringkat menengah dan atasan itu mengalami satu keperitan yang luar biasa. Ini jarang sekali berlaku dalam sejarah Negara kita.

Kenaikan mendadak yang cukup membebankan orang-orang yang majoritinya Melayu lebih banyak menerima kesan. Semua perbicaraan tentang menyelamatkan orang Melayu dan membela nasib orang Melayu itu hanya omongan. Tetapi kenyataannya keperitan itu menimpa orang Melayu, termasuklah bumiputera Sabah dan Sarawak.

Bagaimana boleh dapat saya kumpulkan RM5 bilion ini? Saya akan jelaskan dan memperincikan berikutnya. Iaitu TNB sekarang umpamanya mempunyai standby capacity yang berlebihan. Reserve 40%, di antara paling tinggi di dunia. Siapa yang untung? IPP – Jana Kuasa Bebas. Untungnya sudah berbilion ringgit, ada lagi kapasiti yang begitu besar.

Mengapa kita harus berikan? PETRONAS rugi, TNB rugi… yang untung IPP. Dan kapasiti 40% itu saya usulkan untuk dikurangkan standby capacity itu kepada 20%. Dengan mengurangkan kapasiti itu sahaja kita telah mendapat RM2 bilion. Jadi kita kena cari RM3 bilion lagi. PETRONAS hari ini dalam financial announcement menyebut jumlah keuntungan yang besar bagi tahun 2008 yang baru selesai diumumkan hampir RM100 bilion.

Jangan kita bicara soal naik harga minyak. Naik harga minyak di pasaran dunia bermakna pendapatan dan dana Kerajaan bertambah .... meningkat besar. Jadi kalau kita mempunyai keuntungan begitu besar, sebahagiannya untuk PETRONAS dan saya tidak ganggu PETRONAS kerana PETRONAS mempunyai rekod yang cemerlang dan pengurusannya membanggakan. Masalahnya ialah manakala campur tangan politik, pengurusan politik yang sangat lemah membebankan negara.

Jadi oleh yang demikian, saya mengusulkan sebagai langkah awal kita turunkan 50 sen mulai esok. Walaupun sekarang Barisan Nasional memerintah, bermakna ini tidak mungkin. Tetapi kita turunkan 50 sen esok, Insya Allah dan saya akan jelaskan dalam masa yang diberikan nanti bagaimana kita boleh cari RM3 bilion. RM3 bilion ini untuk dana meringankan beban rakyat itu tidak terlalu besar.

Kerugian dan tanggungan PERWAJA sahaja RM13 bilion yang boleh ditampung oleh Kerajaan. Mengapakah harus kita menjadikan isu terlalu besar apabila RM3 bilion itu ingin diagihkan kepada rakyat jelata.

PERANTARA: Terima kasih Dato’ Seri Anwar. Saya mempersilakan YB Dato’ Ahmad Shabery Cheek.

YB DATO’ AHMAD SHABERY CHEEK: Assalamualaikum w.b.t. Saya menerima jemputan AgendaDaily untuk berdebat malam ini atas kesedaran bahawa adalah tanggung jawab saya sebagai orang yang dipilih oleh rakyat dan juga seorang Menteri yang dipilih melalui proses yang sah. Dan saya bertanggung jawab untuk menyatakan bahawa apa-apa tindakan yang dilakukan oleh Kerajaan, inilah cara yang terbaik untuk masa depan negara kita dan masa depan rakyat. Bukan pendekatan populis yang sering dilakukan dalam banyak negara yang tidak semestinya negara itu berakhir dengan keadaan ekonomi yang lebih baik kepada masyarakatnya.

Perlu saya jelaskan di sini bahawa kalaulah dikatakan pada hari ini 50 sen hendak diturunkan, sebenarnya ucapan ini saya dah dengar sebelum pilihan raya yang lepas. Jadi bermakna dia mesti bercakap pada harga sebelum pilihan raya iaitu pada harga RM1.92.

Tentangannya ialah menentang kadar kenaikan harga yang baru-baru ini. Kalau kita teruskan pada harga RM1.92, ini bermakna subsidi yang terpaksa ditanggung oleh Kerajaan ialah sebanyak RM50 bilion. Dan ini bermakna banyak program-program pembangunan, soal sekolah, soal rakyat, soal jalan, soal orang di FELDA, soal orang di kampung tidak dapat dilaksanakan hanya untuk menampung cara hidup yang berterusan yang ada pada hari ini.

Perlu saya jelaskan juga bahawa, kita perlu tahu bahawa kenaikan harga minyak sekarang ini bukanlah kerana kita. Kita mesti sedari hakikat bahawa kita berhadapan dengan krisis minyak seluruh dunia. Harga minyak naik bukan Kerajaan yang salah tetapi ini adalah kerana keadaan kenaikan harga minyak dunia disebabkan perang di Iraq, kemungkinan serangan di Iran, tentang permintaan China dan India yang semakin besar dan faktor-faktor lain yang dirasakan di seluruh dunia.

Dalam sejarah Negara kita, harga minyak dunia ataupun krisis minyak ini bukan kali yang pertama. Kali yang pertama ialah dalam tahun 1973 dan 1974. Pada waktu itu selepas perang Yunkipur atau Perang Ramadhan pada ketika itu, di mana orang-orang Arab – negara-negara Arab berpakat untuk mengenakan tindakan embargo minyak kepada negara-negara yang menyokong Israel pada waktu itu. Pada masa yang sama ia memberhentikan atau mengurangkan pengeluaran minyaknya.

Waktu itu juga, seluruh dunia menghadapi masalah inflasi yang teruk. Harga minyak naik mendadak 400% daripada 10 dolar setong hingga 40 dolar setong dalam masa 6 bulan. Memberikan kesan inflasi yang cukup teruk termasuk dalam Negara kita pada waktu itu. Tetapi saya ingat pada waktu itulah pentingnya, tahun 1974 ialah zaman Tun Razak.

Tun Razak menubuhkan PETRONAS pada waktu itu. Menubuhkan PETRONAS dalam keadaan yang tertekan kerana dunia luar menekan kita jangan ambil hak yang telah diberikan kepada SHELL pada waktu itu. SHELL telah diberikan oleh British sebelum meninggalkan negara kita. Kita tubuh PETRONAS pada waktu itu dan ia bukanlah satu perkara yang mudah.

Sebab itulah pada waktu itu seluruh rakyat bersatu menyokong Tun Razak. Pada waktu itu polls khas menyokong Tun Razak. Pada waktu itu juga banyak parti-parti lain menyokong Tun Razak. Saya ingat pada waktu itu Saudara Anwar memilih untuk memalukan Tun Razak, berarak di jalan raya mengajak mahasiswa dan sebagainya.

Seperti dulu dan seperti hari ini, rakyat memang sempit tetapi saya melihat sama seperti dulu, Saudara Anwar suka mengambil kesempatan daripada kesempitan rakyat. Sebab itulah kita katakan bahawa, memberikan minyak yang murah bukan penyelesaiannya. Banyak negara ....... terima kasih.

PERANTARA: Terima kasih Dato Seri dan terima kasih Dato’. Kita masuk kepada pusingan yang kedua. Ini merupakan soalan saya yang saya tujukan kepada kedua-dua tokoh ini. Soalan saya ialah, pada masa ini PETRONAS hanya menguasai kira-kira 40% pasaran runcit petroleum. Sekiranya subsidi yang besar diberikan, maknanya Kerajaan juga harus menanggung subsidi untuk beberapa syarikat minyak raksasa yang ada di negara ini termasuk EXXON Mobil dan SHELL. Apa komen pendebat? Saya mulakan dengan Dato’ Ahmad Shabery Cheek.

YB DATO’ AHMAD SHABERY CHEEK: Kita mesti mengakui bahawa kaedah subsidi adalah kaedah yang tidak boleh bertahan lama. Banyak subsidi ertinya kita mesti mengakui akan memberi kesan pertumbuhan ekonomi yang sebenarnya.

Kalau kita terus memberi subsidi yang banyak, kita akan mewujudkan satu keadaan bahawa wang Negara yang sepatutnya dilaburkan untuk kepentingan rakyat, untuk sekolah, untuk hospital dan sebagainya terpaksa digunakan hanya untuk menampung subsidi minyak yang sebahagiannya akan digunakan oleh orang-orang yang sudah kaya, yang sudah mempunyai kenderaan yang besar termasuk orang-orang dari luar negara. S

ebab itulah kita katakan di sini bahawa kalau kita terus memberi subsidi sebagaimana yang disebutkan tadi, ada syarikat-syarikat seperti EXXON Mobil, seperti SHELL dan sebagainya yang turut mendapat faedah daripada wang rakyat. Dalam soal ini, kenapa tidak kita berikan wang tersebut terus kepada rakyat dan ini yang dibuat oleh kebanyakan negara-negara maju yang lain.

Kalau disebutkan tadi kerana pengurusan yang tidak cekap, kerana ada rasuah dan sebagainya. Kita tanya Norway, Finland, tanya negara-negara maju yang lain yang dikatakan paling kurang rasuah, mereka juga tidak subsidi dan mereka telah menunjukkan prestasi ekonomi yang lebih baik dan Malaysia juga harus menuju ke arah itu.

PERANTARA : Dato’ Seri Anwar.

DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM: Debat ini masalah minyak, bukan Anwar dan Shabery. Oleh yang demikian, saya tidak memilih untuk menyentuh beliau walaupun beliau tokoh Semangat 46 dahulu. Itu tak apa.

Soalnya saudara, kita nak banding dengan Norway, pendapatan per kapita Norway 10 kali lebih daripada Malaysia. Kita bicara soal harga minyak ini, keperitan rakyat, petani, nelayan dan pekerja yang miskin. Jadi kalau kita nak bandingkan dengan kedudukan negara industri yang capai tahap yang baik, ini agak sukar. Nisbah dan basis perbandingan itu meleset sama sekali.

Saudara, soal minyak, soal bantuan, meredakan keperitan rakyat ini tanggung jawab mana-mana pemerintah. Lebih ramai orang miskin, lebih rakyat terpinggir, baik Melayu atau bumiputera Sabah, Sarawak atau segelintir Cina dan masyarakat India di estet, itu tanggung jawab kita. Soalnya, menaikkan kadar minyak dengan mendadak begini, cukup membebankan. Dan kalau pemimpin-pemimpin UMNO dan Barisan Nasional sampai hari ini tidak sedar, saya fikir masa depan parti itu tidak begitu cemerlang lagi. Orang tidak akan yakin.

Saudara, ini realitinya. Saudara tahu, berapa ramai jumlah pengangguran? Itu akan saya sentuh. Sebab itu prinsip subsidi, bila nak tolong orang miskin, subsidi. Bagaimana tentang prasarana infrastruktur, berpuluh bilion ringgit yang disediakan untuk pedagang-pedagang untuk industri? Untuk pelabuhan? Bukankah itu bentuk subsidi?

Prasarana disediakan dengan jumlah yang besar, kita sebut insentif. Tolong rakyat miskin dengan subsidi minyak kita panggil subsidi. Jumlah nak tampung kerugian PERWAJA saya sebut tadi, dan MAS dan pelbagai bail-out , kita sebut bail-out, bantuan menyelamatkan ekonomi. Nak bantu nelayan, petani dan Melayu miskin namanya subsidi. Dan subsidi itu namanya cukup negatif dan busuk sekali. Saya tidak setuju.

Saya anggap tanggung jawab kita dalam mana-mana negara. Kita ada dana. Keuntungan PETRONAS, tak sentuh bahan sektor yang diperoleh daripada PETRONAS, itu perlu untuk pelaburan dan sebagainya. Ini soal dana yang besar yang diperoleh oleh Kerajaan. Memang betul untuk sekolah, tapi kalau kita ambil berbilion dari rakyat kemudian kita tingkatkan bangunkan sekolah, tanggung jawab dan boleh kita sentuh dalam round kedua. Insya Allah.

PERANTARA: Baik, terima kasih Dato’ Seri Anwar. Demikian saudara penonton sekalian, berakhirnya segmen pertama debat AgendaDaily ini. Kita akan bertemu lagi selepas pesanan iklan ringkas ini. Jangan ke mana-mana

-----------------------------------

PERANTARA: Saudara penonton yang saya hormati sekalian, kita sedang mengikuti Debat AgendaDaily mempertemukan YB Dato’ Shabery Cheek dengan Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang membawa judul ‘Hari Ini Bentuk Kerajaan, Esok Turun Harga Minyak’. Kita sampai pada pusingan ketiga sekarang, saya mempersilakan wakil Dato’ Ahmad Shabery bertanyakan soalan kepada Dato’ Seri Anwar. Silakan Tan Sri.

TAN SRI DATUK DR NORDIN KARDI: Terima kasih Pengerusi. Sebelum saya mengemukakan soalan yang terbuka, saya ingin terlebih dahulu mendapatkan komitmen yang diucapkan oleh Dato’ Seri tadi, iaitu premis kepada cadangan apabila memerintah hari ini besok harga minyak akan turun 50 sen, bukan kerana Malaysia adalah negara pengeluar minyak, ya atau tidak?

DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM: Ya, Malaysia ialah negara pengeksport minyak.

TAN SRI DATUK DR NORDIN KARDI: Kerana Malaysia negara pengeksport minyak, itu sebabnya cadangan ini dikemukakan?

DATO’ SERI ANWAR: Ya.

TAN SRI DATUK DR NORDIN KARDI: Jadi apabila cadangan ini dikemukakan sedangkan dalam hujah telah menyentuh perkara-perkara lain yang bukan berkaitan dengan minyak iaitu yang berkaitan dengan IPP dan sebagainya. Jadi saya merasai .....

DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM: IPP itu ada hubungan minyak dengan gas.

TAN SRI DATUK DR NORDIN KARDI: Premis itu sudah bercampur-campur, jadi saya suka menyebut beberapa angka iaitu hasil ataupun revenue daripada minyak. Mengikut laporan tahunan yang telah diumumkan ialah RM223 bilion.

Dan daripada RM223 bilion ini yang merupakan hasil daripada minyak yang dikorek daripada Malaysia ialah 26% iaitu RM56 bilion, sedangkan PETRONAS telah mengembalikan wang sebanyak RM63 bilion, bermakna melebihi daripada duit minyak yang diperoleh daripada urus niaga minyak Malaysia sebanyak RM5 bilion lebih.

Jadi dengan demikian, seolah-olah apabila wang ini dilaburkan semula untuk perkembangan ekonomi, dan apabila Dato’ Seri memerintah hari ini, besok akan menurunkan harga minyak, Seolah-olah Dato’ Seri seumpama seorang anak yang telah kematian bapa akan membahagi-bahagikan harta ini yang telah dikumpulkan hasil keringat orang terdahulu, untuk mendapatkan keseronokan di kalangan kawan-kawan bahawa Dato’ Seri adalah pemimpin yang baik.

DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM: Terima kasih. Terima kasih atas ucapan pengulas. Saya fikir dia nak tanya soalan. Tapi mungkin kaunseling punya pengaruh.

Basic, pengetahuan basic bila kita sebut industri petroleum itu, termasuk minyak dan gas. Patut dapat taklimat awal. Tapi kalau yang disebut oleh PETRONAS ini, keuntungan besar dari pelaburan PETRONAS dan PETRONAS ini walaupun termasuk dalam di antara 100 syarikat minyak terbaik, tapi dari segi keuntungan termasuk di antara yang ke 10 terbaik.

Dan keuntungan ini ialah kerana operasi kebanyakannya itu dalam negara dan sebahagian kecil di luar. Dan dalam polisi kita tentunya kita menggalakkan PETRONAS untuk terus melabur sebahagian pendapatannya. Sebab itu kita tidak menyentuh dana yang diperoleh oleh PETRONAS. Kita nak menyentuh dana yang dipulangkan kepada Kerajaan kerana PETRONAS ini milik dan khazanah Negara. Berhak untuk rakyat, anak ni maknanya anak kita semua, itu hak mereka.

Jadi sebenarnya soal nak menyatakan pendekatan populis atau tidak, ya. Kita dalam pemerintahan ini nak jaga siapa? Nak jaga tauke besar dan kroni? Atau nak jaga rakyat? Kita jaga semua. Jadi oleh yang demikian, saya tekankan jumlah yang kita sebutkan 50 sen itu bukan jumlah yang keterlaluan. 50 sen turun, langkah awal.

Memang Dato’ Shabery, dia menyentuh ... memang saya janji lebih, memang itu saya sebut itu langkah awal. Sebab apa saya nak menyebut langkah awal, sebab kekacauan, kemusnahan ekonomi, kerosakan akibat kenaikan mendadak keterlaluan, kerana naik begitu mendadak keterlaluan, tidak ada yang sokong, yang sokong hanya Ahli Parlimen Barisan Nasional. Kerana naik keterlaluan, kita terpaksa menurunkan ikut peringkat. Saya mengambil satu pendekatan bertanggung jawab, kalau benar populis saya umumkan saja, kita turunkan RM1 atau RM1.50, apa salahnya. Tetapi saya terpaksa mempertahankan dengan hujah dengan angka RM2 bilion selamat dari...... saya sambung kemudian.

PERANTARA: Saya mempersilakan Saudara Zulkifli Sulong untuk bertanyakan soalan kepada Dato’ Ahmad Shabery.

SAUDARA ZULKIFLI SULONG: Assalamualaikum Dato’ Ahmad Shabery. Pada tahun 2006 lalu, Kerajaan telah menaikkan harga minyak sebanyak 30 sen. Hasilnya Kerajaan telah dapat jimat kira-kira RM4.3 bilion dahulu. Kerajaan berjanji ia akan digunakan untuk pengangkutan awam. Mengikut jawapan di Parlimen baru-baru ini, Kerajaan baru belanjakan RM834.72 juta sahaja, untuk prasarana pengangkutan awam sejak dari tarikh itu.

Kenapa perkara ini berlaku? Kerana dengan kenaikan ini pula, Kerajaan boleh jimatkan RM13 bilion. Jika RM4.3 bilion yang kita jimatkan dahulu itu sukar untuk dibelanjakan, sehingga kini tidak dapat nampak hasilnya tentang pengangkutan awam yang dijanjikan. Apakah yang akan berlaku dengan penjimatan yang agak besar yang akan kita hapuskan?

DATO’ AHMAD SHABERY CHEEK: Terima kasih Saudara Zul. Sebenarnya Saudara mungkin tidak ikut perkembangan harga minyak agaknya. Pada waktu itu 70 dolar, sekarang 140 dolar. Senanglah nak cakap turun, siapa pun boleh, kalau tak memerintah. Saya duduk pembangkang mudah hendak cakap. Bagi free pun boleh.

Tetapi kita mesti bertanggung jawab dalam soal ini. Kita tengok dalam dunia sekarang ini pun, pertamanya kita perhatikan, dalam dunia sekarang ini, semua negara yang murah harga minyaknya, Venezuela paling murah, 10 sen sahaja. Saya baru ke sana minggu lepas. Tetapi inflasinya berapa? 30%, yang terburuk dalam negara Latin Amerika. Iran inflasinya yang ke 8 terburuk dalam dunia sekarang. Itu negara yang murah.

Kerana dalam masa yang sama kita kena ingat, bahawa harga minyak bukan sekadar menyebabkan harga minyak sahaja naik, tetapi bukan sahaja harga barang, tetapi termasuk krisis makanan.

Sekarang ini kalau kita tengok, negara kita mampu untuk mengatasi krisis makanan sekarang ini malahan kalau kita tengok beras kita lebih murah daripada beras Thailand. Ini antara bukti kemampuan kita mengatasi makanan. Sebab itulah kita katakan bahawa ianya hanya dapat diimbangi dengan cara sistem subsidi yang betul dan kita tidak perlu berarak di jalan raya.

Alhamdulillahlah kita dapat bersama hari ini, tidak berarak di jalan raya atau pun buat konsert yang tidak senonoh seperti baru-baru ini. Kita dapat berbincang dengan yang baik dalam keadaan sekarang ini.

PERANTARA: Sekarang saya akan minta supaya Saudara Zul menanyakan soalan kepada Dato’ Seri Anwar, silakan.

SAUDARA ZULKIFLI SULONG: Dato’ Seri, bercakap soal minyak ini, ia adalah harta masa depan kita. Seingat saya semasa Dato’ Seri menjadi Menteri Kewangan dahulu, Dato’ Seri pernah menubuhkan Tabung Warisan. Dan apa sebenarnya dalam pemikiran Dato’ Seri ketika itu, jika kita kaitkan dengan isu minyak yang juga harta rakyat masa depan sekarang ini?

PERANTARA : Silakan.

DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM: Dua Kumpulan Wang Amanah yang penting ialah Kumpulan Amanah Pencen dan Negara yang melibatkan kepentingan heritage. Kerana pada masa itu kita ada belanjawan lebihan, tidak macam sekarang deposit teruk. Masa itu kalau belanjawan lebihan, kita kumpulkan supaya kita simpan sebahagian daripada dana yang diberikan PETRONAS dan lebihan itu untuk masa depan Negara.

Malangnya, perkara itu tidak dikembangkan dan dana simpanan itu masih di peringkat yang dianggap agak kecil. Tetapi dalam isu minyak ini, kita tidak boleh kaitkan semata-mata dengan harga global. Kalau kita sebut Venezuela, Iran, benar inflasinya agak naik sedikit, tapi kalau kita kira inflasi yang disebut oleh Kerajaan.

Cuba pergi kedai beli ikan ke, bawang ke, ayam ke, ianya tidak naik 3%. Angka terakhir yang disebut oleh Gabenor Bank Negara 6% lebih. Semua bank sebut lebih 8%. Maknanya kebijakan ekonomi yang diumumkan menyebabkan inflasi melonjak tinggi kerana kenaikan itu pada tahap yang singkat terlalu tinggi menyebabkan kesan sampingan harga barang meningkat.

Jadi keprihatinan Pak Menteri meniaga barang di inflasi itu bercanggah dengan keputusan yang dibuat oleh Kerajaan. Naik minyak mendadak, inflasi tidak akan naik. Itu teori ekonomi siapa yang mengajar begitu?

Kenaikan yang mendadak, kenaikan barang termasuk minyak bila mendadak begitu akan membawa kesan yang parah. Kita sebut harga minyak global, memang benar. Harga minyak global meningkat tinggi tetapi setiap 1 dolar Amerika naik dengan pengeluaran minyak di Malaysia, kita peroleh RM360 juta.

Jadi naik harga minyak itu pulangan besar kepada kita. Ini hendak merunsingkan orang kampung, harga minyak global naik, di London, di Paris, di China, di India naik. Kita pengeluar minyak, memang naik berbanding 10 tahun lalu, tetapi tidak boleh bebankan rakyat dan yang saya nak tekankan sekarang ini, kenaikan begini menyebabkan ekonomi kian meleset.

PERANTARA: Saya mempersilakan Tan Sri Datuk Dr Nordin Kardi untuk menanyakan soalan kepada Dato’ Ahmad Shabery.

TAN SRI DATUK DR NORDIN KORDI: Tadi saya telah menanyakan komitmen Dato’ Seri Anwar tentang adakah premis kepada penurunan harga minyak 50 sen itu kerana Malaysia adalah pengeluaran minyak. Selepas kita bacakan data bahawa sumbangan minyak dalam negara hanya 26%. Saya melihat bahawa isu yang dicadangkan oleh Dato’ Seri Anwar bukan isu minyak lagi tetapi memilih minyak sebagai sasaran untuk dikurangkan kepada 50 sen.

Tetapi mengapa tidak misalnya oleh kerana ia bukan semata-mata isu minyak bercakap mengenai pengurangan cukai seperti mana Kerajaan telah tidak mengenakan cukai kepada mereka berpendapatan di bawah RM2,000, mengapa tidak misalnya memberi bantuan sewa rumah kepada mereka yang miskin tinggal di bandar, tetapi mengapa memilih minyak, mengapa agaknya Dato’ Seri Anwar tidak berjanji untuk mengurangkan inflasi seperti katanya 80% kepada 30%. Jadi soalan saya kepada Dato’ Shabery ialah mengapa agaknya Dato’ Seri memilih minyak sebagai sasaran janji kepada rakyat apabila memerintah esok. Terima kasih.

YB DATO’ AHMAD SHABERY CHEEK: Saya rasa soalan ditanya kepada saya kerana merasakan banyak premis yang salah tadi. Kita bercakap tentang kita ini sebagai negara pengeluar minyak. Saya hendak tanya, kita ini negara pengeluar minyak nombor berapa dalam dunia? nombor 1 hingga 20? Kita nombor berapa?

Tidak masuk pun. nombor 21 pun tidak. Kita kecil, jangan bandingkan dengan Arab Saudi, jangan bandingkan dengan Venezuela, jangan bandingkan dengan Iran, jangan banding dengan tempat lain. Kita kecil sangat, itu pun minyak kita telah diambil 100 tahun lamanya dan kita telah sampai ke peringkat penghujung. Kita masih nett exporter tetapi nett exporter yang kecil. Kita kena tahu dalam soal ini.

Dan kemudiannya dari segi keuntungan daripada minyak kita tidak benar tadi, sebenarnya hanya 26% daripada keuntungan yang disebabkan oleh PETRONAS hari ini, 26% hasil daripada minyak dalam negeri yang lain itu adalah pelaburan. Kalau kita kata tahun 2015 nanti waktu kita sudah tidak ada minyak, apakah waktu itu kita telah menjadi nett importer pada waktu tersebut. Apakah pada waktu itu kita baru hendak mengikut harga dunia, kalau orang hendak jual minyak pada kita waktu itu.

Kalau tidak jual bagaimana? Sebab itulah tanggung jawab PETRONAS dengan keuntungan yang ada walau sudah banyak diberikan kepada negara sepatutnya cari minyak di luar negara dan terima kasih di bawah Dato’ Seri Mahathir misalnya, sampai ke 33 buah negara yang dia terokai, PETRONAS kita sehingga kita menjadi salah sebuah negara yang mempunyai sebuah syarikat minyak antara yang ternama dalam dunia sekarang ini. Sebab itulah kita rasakan jangan menyebabkan PETRONAS menjadi lebih miskin dalam soal ini. Kita mestilah realistik, minyak kita bukanlah minyak yang banyak sangat, mungkin minyak urut, minyak atar tidak tahulah dalam soal ini.

PERANTARA: Terima kasih, kita akan pergi kepada soalan cepumas. Saya akan minta Dato’ Seri Anwar menanyakan satu soalan kepada Dato’ Ahmad Shabery dan kemudian Dato’ Ahmad Shabery akan menanyakan satu soalan kepada Dato’ Seri Anwar. Saya mulakan dengan Dato’ Seri Anwar menanyakan soalan kepada Dato’ Ahmad Shabery.

DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM : Saudara Shabery, siapa yang bandingkan Malaysia dengan Venuezela dan Iran? Harganya 10 sen, 15 sen, 16 sen? Soalnya, kita bandingkan Malaysia sebagai negara pengeksport minyak, dan kita telah bagi perkiraan bahawa kenaikan yang mendadak itu membebankan rakyat dan menyebabkan kemerosotan, kemelesetan ekonomi negara.

Jadi kalau ini diketahui, mengapa Kerajaan setelah berjanji untuk tidak menaikkan minyak sebelum pilihan raya, dalam tempoh beberapa bulan sahaja telah memungkiri janji, mengkhianati janji dan menaikkan harga minyak yang membebankan rakyat dan mengatakan kita ambil dari dana PETRONAS? Siapa yang kata kita ambil dari dana PETRONAS? Saya kata kita jimatkan belanja, kita betulkan perjanjian kita dengan IPP dan kapasiti lebihan dan kita ambil dari dana Kerajaan yang bocor begitu banyak termasuk rasuah yang disebut Morgan Standly kehilangan RM300 bilion dan RM10 bilion.

Jadi saudara, saya cuma hendak sebutkan begitu, mengapa gunakan media termasuk media rasmi sebagai amanah memutar belitkan kenyataan kita? Kenyataan kita ialah mengapa kenaikan yang begitu mendadak dan membebankan? Dan mengapa kita tidak boleh mengurus sumber khazanah yang kita miliki untuk meringankan bebanan rakyat dan memajukan pertumbuhan ekonomi dengan meyakinkan?

PERANTARA: Terima kasih, saya minta Dato’ Ahmad Shabery jawab.

YB DATO’ AHMAD SHABERY CHEEK: Saya kira ini sekali lagi ucapan yang populis sifatnya. Seolah-olah menafikan bahawa segala-galanya dikaitkan bahawa punca kenaikan harga minyak kita ini kerana tidak ada penjimatan dan soal rasuah dan sebagainya.

Ini boleh kita terima sekiranya kenaikan harga minyak negara kita adalah sesuatu yang terpencil daripada negara lain. Seolah-olahnya Saudara Anwar menafikan bahawa seluruh dunia berhadapan dengan soal harga minyak yang tinggi sekarang ini, seolah-olah dikatakan bahawa minyak mahal di Malaysia sahaja.

Ini sama saya katakan seperti dalam tahun 1974 dahulu, Saudara menggerakkan MASSA, menggerakkan mahasiswa mengatakan orang kaya raya, orang miskin papa kedana. Sedaplah kita bercakap waktu itu, bercakap tentang orang Baling pada waktu itu. Tetapi pada waktu yang sama kita rasakan bahawa

Saudara Anwar waktu berada dalam Kerajaan, tidak selesai pun tentang soal orang di Baling. Bercakap mudah dalam soal ini, sebab itulah sebahagian daripada masalah yang kita ada, soal IPP ialah semasa zaman Saudara Anwar berada dalam Kerajaan. Susah kita hendak ubah kontrak-kontrak yang ada sekarang ini kerana antara kontrak itu dipertahankan semasa Saudara Anwar berada dalam Kerajaan.

Saudara Anwar kata media suka memutar belitkan. Saya rasakan sekarang ini tidak pernah berlaku kalau Saudara Anwar berada dalam Kerajaan diberi peluang yang begini kepada seorang pemimpin pembangkang. Saya rasakan bahawa kalau mengikut cara Saudara Anwar sewaktu menyelesaikan masalah krisis kewangan tahun 1997, memilih cara yang digemari oleh IMF.

Pada waktu itu yang menjerut rakyat dan tidak pernah pun di cakap kita membuat tentang kepentingan rakyat, kadar bunga yang dinaikkan dengan cara yang cukup tinggi pada waktu itu, NPL dipanggil daripada enam bulan kepada tiga bulan, ramai peniaga kecil SME dan sebagainya bankrap disebabkan oleh Saudara Anwar.

Kita bercakap mudah bila kita di luar, tetapi hakikat yang sebenarnya tidak semudah dapat kita hayati dalam keadaan yang sebenarnya dalam negara kita pada hari ini. Tetapi percayalah sebagaimana yang saya katakan tadi, dalam kesusahan yang ada sekarang rakyat cukup makan.

Kalau disebutkan tentang soal kebocoran dan sebagainya, kita cubalah lihat, Saudara Anwar cubalah lihat bandingkan statistik yang ada sekarang ini, semua negara-negara yang dianggap murah minyaknya juga mengalami keadaan inflasi yang tinggi kecuali boleh dibuktikan satu negara yang memberikan subsidi yang tinggi, inflasinya tidak berlaku, tunjuk dan buktikan, Iran, Venezuela, Saudi Arabia, Qatar semua ini negara-negara minyaknya tetapi inflasinya adalah jauh lebih tinggi daripada Malaysia.

Sebab itulah saya katakan bahawa jangan kita sempitkan pemikiran kita dalam mengelirukan rakyat semua.

PERANTARA: Sekarang, saya mempersilakan Dato’ Ahmad Shabery mengajukan soalan kepada Dato’ Seri Anwar.

YB DATO’ AHMAD SHABERY CHEEK: Soalan saya mudah sahaja. Kalau kita mengajar rakyat kita dengan harga yang murah walaupun pada hakikatnya harga minyak antarabangsa adalah tinggi, tahun 2015 kita akan menjadi nett importer. Mungkin beberapa tahun lagi kita tidak akan ada minyak lagi. Apakah subsidi begini akan diteruskan? Atau pada waktu itu baru nak naik mendadak serta merta daripada apa yang ada sekarang?

PERANTARA: Silakan Dato’ Seri Anwar.

DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM: Ya, terima kasih. Sekurang-kurangnya, soalan itu tadi kembali kepada mauduk. Yang lain itu, soal demonstrasi 1974 belum habis demam pun lagi.

Saudara, siapa yang bagi angka kata ada deflation? Ada kehausan sumber minyak pada 2015? Cuba kalau baca betul-betul laporan PETRONAS. Disebut, mengikut perkiraan sekarang, seandainya 10 tahun dari sekarang tidak ada sama sekali telaga minyak yang baru, maka ..., bacalah bagi habis. Maknanya, kapasiti tidak terencat.

20 tahun yang lalu atau 30 tahun yang lalu, kapasiti kita berakhir pada 2005. Keadaan itu berkembang. Baiknya PETRONAS ini, kerana dia tidak hanya memilih untuk cari gali dalam negara. Dia pilih luar negara untuk mencari sumber yang lain. Sebab itu, saya pertahankan PETRONAS.

Yang saya kritik ialah Kerajaan Barisan Nasional. Dia ada beza. Jadi, kalau Ahli-ahli Yang Berhormat, Ahli-ahli Parlimen pun tak faham, problem kita. Soalnya, sekarang, kita bincang minyak. Tapi, pengurusan Kerajaan, kebocoran. Saya boleh bagi contoh, bukan saya bagi perkara yang tidak bertanggungjawab. Betul, IPP itu diluluskan di zaman saya menjadi Menteri Kewangan. Tapi, saudara harus honest to the truth.

Jangan bohong. Saudara boleh semak rekod. Semak surat Tan Sri Ani Arof, Pengerusi TNB. Dia pertahankan keputusan Kementerian Kewangan, dia bercanggah dengan EPU dan keputusan Perdana Menteri pada ketika itu.

Saya mempersilakan Saudara semak balik. Kita tidak bersetuju dengan harga yang ditetapkan. Itu sebabnya, mengapa Tan Sri Ani Arof meletakkan jawatannya sebagai Pengerusi TNB. Betul. Tetapi, tak mengapalah. Dato’ Shabery kata Anwar salah. Tetapi, tahun 1990. Dan kamu buat apa tahun 2008 ini? Sekarang ini, dalam keadaan permulaan perjanjian IPP, rizab kapasiti 10, 15 tahun dulu, sekarang, kita teliti balik.

Untung IPP ini berbilion dan PETRONAS itu kerugian, termasuk TNB kerana beban perjanjian IPP. Sebab itu harus diteliti semula. Saya menganggarkan, kalau diteliti semula selain RM2 bilion rizab kapasiti kita boleh jimatkan RM1 bilion lagi. Dari kadar RM3 bilion, kita hanya perlu RM2 bilion.

Tengok, bagaimana Kerajaan uruskan pembelian diesel. Diesel yang bocor, penyeludupan, dan penyelewengan, berapa? RM700 juta setahun. Kemudian, Kerajaan tubuh syarikat kroni, Teras Kimia, RM117 juta. Sudahlah rugi RM700 juta, ambil syarikat geng dia, bantu pula RM100 juta. Rakyat? Jadi, ini sebab Saudara, saya minta dengan baik, ikhlas, betulkan ini. Kalau kita dapat jimatkan yang ini, setiap proses satu persatu, kita boleh jimatkan. Ini disebut tiris dan bocor. Sekiranya ini dapat dilakukan, kita lihat ini dari segi kerangka ekonomi makro keseluruhannya.

Saudara boleh bangkitkan, umpamanya, ini pendekatan naik minyak mendadak, cadangan siapa? Ini preskripsi IMF World Bank. Dan beri satu contoh. Jangan guna ini sebagai istilah politik biasa. Saya sedia tepat, soal krisis ekonomi 1997, 1998 dengan pakar ekonomi lain pun tak apa. Tetapi, dengan syarat, bagi ruang. Bahawa adalah satu fitnah besar seperti fitnah berterusan terhadap saya bahawa kita tunduk kepada prinsip IMF.

Saudara, tidak mengapa. Soalnya sekarang, kita beri satu kebocoran yang saya sebutkan tadi. PETRONAS umumkan, ada dividen khas selain daripada beberapa bilion tadi ni, dividen khas tahun ini kepada Kerajaan sebanyak RM6 bilion. Tak bolehkah saya ambil RM1 bilion untuk tampung, supaya kos minyak turun 50 sen?

Apa, bagi Ahli-ahli Yang Berhormat, berat sangat ke? Allah, bagaimanakah, takut bayangkan Kerajaan nak bagi RM1 bilion. RM1 bilion, untuk redakan masalah ini. Saudara percayalah, dua bulan, tiga bulan sekarang. Ini bukan soal penangan Pakatan Rakyat. Pakatan Rakyat satu wadah. Ini soal, rakyat. Kalau kita nak teruskan kebijakan ekonomi, sekarang ini, apa yang akan berlaku ialah kemelesetan, pengangguran yang sekarang setengah juta akan mencecah hampir 1 juta orang. Ini beban kepada rakyat.

PERANTARA: Terima kasih, Dato’ Seri. Saudara penonton yang saya hormati sekalian. Demikian tadi berakhirnya segmen yang kedua dalam perbincangan kita pada malam ini. Kita akan bertemu lagi selepas pesanan iklan ini. Jangan ke mana-mana.

-----------------------------------

PERANTARA: Saudara penonton yang saya hormati sekalian, saudara sedang mengikuti Debat AgendaDaily. Dua pendebat yang di undang ialah YB Dato’ Ahmad Shabery Cheek dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Judul perdebatan kita pada hari ialah ‘Hari Ini Bentuk Kerajaan, Esok Turun Harga Minyak’. Kita sampai kepada pusingan yang kedua terakhir. Saya akan mengemukakan soalan ini, pertama kepada Dato’ Seri Anwar dan kemudian akan dijawab oleh Dato’ Ahmad Shabery Cheek.

Soalan saya ialah, Dato’ Seri, rasanya tidak perlulah jadi Perdana Menteri untuk membantu meringankan beban rakyat. Kenapa tidak sumbangkan idea bernas untuk tujuan itu pada masa ini. Tanpa perlu, misalnya cakap-cakap mengenai menukar Kerajaan. Silakan.

DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM: Terima kasih. Ini yang sebab saya ikut serta ni. Saya bukan Perdana Menteri, bahkan nasib saya satu dua hari ini, belum tentu ke mana. Tetapi saya memilih untuk hadir kerana saya rasa, Kerajaan juga, kawan-kawan saya dalam UMNO dan Barisan Nasional harus beri peluang untuk dengar.

Ini bukan satu soal yang partisan hanya khusus untuk Pakatan Rakyat. Kalau cadangan ini diterima dan dilaksanakan, kita akan menyokong tindakan mereka. Tetapi soalnya sekarang ialah apakah ada kesediaan pemimpin-pemimpin Kerajaan dengar dan cuba melaksanakan.

Saudara Johan, Profesor Arif, MIER, umpamanya menyebut, Februari 2006 naik 30 sen, inflasi bulan berikutnya 4.8%. Sekarang naik mendadak, belum sempat satu bulan, naiknya 8%. Jadi jangan sibuk perhati di Iran dan Venezuela, kita pun sudah menuju cepat ke arah itu. Bezanya dia harga minyak rendah, inflasi tinggi.

Kita, harga minyak tinggi, inflasi lagi tinggi. Ini bukan boleh sudah dikatakan populis atau tidak, saya bimbang kerana, kalau kita tidak membawa arah baru dalam pengurusan ekonomi negara, lebih baik, lebih mendekati prinsip ekonomi pasaran, lebih meyakinkan dengan pengurusan yang cekap, lebih bersih kepada daripada kebocoran, ketirisan dan rasuah. Lebih menghormati rule of law dan negara hukum. Ini semua akan menjejaskan.

Kita tewas dengan persaingan kita, dengan banyak negara. Jangan banding dengan Somalia dan Zimbabwe. Bandingkan dengan negara-negara yang dulu kita setara. Singapura, Taiwan, Korea Selatan dan negara di ASEAN sendiri. Mengapa kita tewas? Dari segi pelaburan asing, dari segi daya saing. Ini semua ada kesan bila kita ambil apa-apa kebijakan ekonomi.

Saya masih yakin, Malaysia dengan kekuatan yang ada, sumber, termasuk kekuatan dari minyak dari petroleum, itu mempunyai potensi yang besar. Dengan syarat pengurusan Kerajaan itu cekap dan bersih dan sedia mendengar dan mengorak cepat untuk bersaing dengan negara-negara lain.

PERANTARA: Terima kasih Dato’ Seri. Silakan Dato’.

DATO’ AHMAD SHABERY CHEEK: Ya. Kalau tadi IPP dia salahkan Dr Mahathir, tapi selepas itu saya pernah mendengar Saudara Anwar cakap, Dr Mahathir pemimpin yang paling hebat. Pernah dia kata, kalau boleh dipintal awan di langit, akan ku pintal dengan nama Dr Mahathir dan Siti Hasmah pada waktu itu.

Ada orang kalau dia tak setuju, dia letak jawatan pada waktu itu. Tapi kalau saya katakan populisnya begini. Kalau sebelum pilihan raya, dia katakan bahawa, kalau memerintah sebelum pilihan raya nak turun bawah daripada RM1.92. Sepatutnya tidak timbul sekarang ini nak bercakap di bawah 50 sen sahaja daripada harga yang ada sekarang.

Kita mesti kembali pada asas. Ucapan ini dibuat berasaskan kepada ucapan sebelum pilihan raya. Sebelum pilihan raya. Kalau langkah awal, langkah seterusnya semakin murah semakin murah, di waktu harga minyak semakin mahal semakin mahal. Apakah kita bercakap harga minyak di Malaysia semakin murah semakin murah ertinya kita akan membebankan Negara dengan subsidi yang lebih tinggi dan ini sama sekali bertentangan dengan mana-mana prinsip ekonomi yang sihat.

Kalau kita tidak mengikut prinsip ekonomi yang sihat, kita akan menyebabkan Negara kita akan terus dibebankan dengan beban baru. Adakah kita hendak berhutang selepas ini? Dan kalau kita berhutang, dengan siapa kita hendak berhutang?

Kalau tidak dengan peminjam-peminjam atau ‘ah long-ah long’ antarabangsa. Sebab itulah kalau dikatakan tentang menggunakan wang PETRONAS, misalnya. Tahu tidak, daripada apa yang Kerajaan dapat sekarang ini, sebenarnya daripada keuntungan PETRONAS Berhad. Jangan kita cakap tentang PETRONAS Group atau Kumpulan PETRONAS yang termasuk Cari Gali, PETRONAS Dagang dan sebagainya yang melibatkan saham-saham orang lain.

Daripada keuntungan PETRONAS itu, sebenarnya yang telah diberi kepada Kerajaan ialah sebanyak 91% telah diberikan. Apa lagi yang hendak kita ambil dari PETRONAS selepas ini? Dan kita kena ingat bahawa PETRONAS kuat dan maju sekarang ini dan selama ini, kerana siapa? Kalau tidak kerana Kerajaan UMNO dan Barisan Nasional.

Apakah kita hendak nafikan kehebatan yang dibuat oleh PETRONAS selama ini adalah kerana dorongan yang diberikan oleh Kerajaan. Kita tidak bebankan PETRONAS, kita benarkan PETRONAS untuk melabur kembali dan kita tidak mengambil segala-galanya yang ada pada PETRONAS.

Kalau dikatakan penyalahgunaan kuasa, selalu saya beritahu tadi, ianya kalau kita terpisah daripada negara-negara lain hanya negara kita saja yang minyaknya naik, boleh kita katakan demikian. Tetapi kita menerima realiti dan hakikat, masalah ini adalah masalah global yang tidak boleh kita lari.

PERANTARA: Kita sampai kepada pusingan akhir, saya mempersilakan Dato’ Seri Anwar untuk membuat penggulungan. Kita ada waktu yang cukup terbatas, kira-kira satu setengah minit. Silakan.

DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM: Terima kasih. Di antara negara pengeksport minyak, harga minyak di Malaysia keterlaluan tinggi. Itu faktanya. Tidak saya mahu bandingkan dengan Venezuela. Itu yang pertama.

Kedua, harga minyak memang tidak menentu. Tetapi berapa ramai kajian dan pakar minyak menyebut sudah ada break point. Atau besar kemungkinan harga minyak itu menetap dan mula menurun.

Ketiga, kita mengemukakan cadangan ini, gagasan ini dengan penuh tanggung jawab. Kerana kita mahu ekonomi kita kukuh, kerana saya yakin di bawah pimpinan Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, belum tentu sampai bila, kalau diteruskan dengan dasar yang ada sekarang, dalam tempoh dua bulan atau tiga bulan lagi, kedudukan ekonomi kita akan jauh lebih parah daripada kedudukan yang parah sebelumnya. Ini kenyataannya. Saudara tidak setuju, tidak apa.

Tapi saya minta teliti dengan baik dan objektif. Sebab itu saya komited, Insya Allah, kita dalam Pakatan Rakyat akan terus menjelaskan kepada rakyat dan saya sebab itu, saya tidak mahu hak saya dinafikan dan untuk meneruskan agenda ini walaupun Saudara Shabery memilih untuk menyerang secara peribadi, saya tidak mahu jawab. Kerana ini bukan ruangnya. Kerana ruang dia di RTM masih banyak lagi.

Dan saya tidak mempunyai ruang selepas ini. Tetapi percaya, fitnah ke, khianat ke, ada batasnya. Saya diberikan sebaik ada pilihan, Insya Allah saya akan bertanding dalam pilihan raya dalam masa sesingkat yang mungkin.

PERANTARA: Saya minta Dato’ Ahmad Shabery.

YB DATO’ AHMAD SHABERY CHEEK: Percayalah. Kalau kita perhatikan bahawa, Saudara Anwar tidak berubah seperti dulu. Dalam sejarah yang banyak memberi sumbangan kepada Negara untuk membina PETRONAS daripada apa yang ada sekarang, sebaik-baiknya kepada satu syarikat yang mencapai tahap yang begitu tinggi sekali.

Kalau dahulu, orang yang membina PETRONAS seperti Tun Razak, sudah ditentang. Tun Mahathir yang mengembangkan PETRONAS sampai ke peringkat dunia, ditentang juga. Kita selalu sebutkan bahawa pada waktu sekarang Pak Lah tidak mengambil lebih daripada apa yang sepatutnya. Maka tidak ada sebab untuk kita menentang.

Dan apakah kita nak sekarang ini, dalam keadaan sekarang ini, kita terus hendak mainkan sentimen-sentimen mengajak orang ke jalan raya sebagaimana yang dibuat dalam tahun 1974 dahulu, akan menyelesaikan masalah kita. Dan kita ingat, kalau ingin kita terus menyebabkan menekankan supaya wang yang banyak diambil daripada PETRONAS misalnya, untuk membantu mensubsidi negara kita, maka kita akan katakan bahawa kita membenarkan ia menjadi semakin miskin dan mungkin kita hendak membenarkan orang lain akan mengambil PETRONAS satu masa nanti.

Percayalah dalam soal ini, kita lihatlah dalam negara-negara lain, Malaysia adalah negara yang terbaik. Growth atau pertumbuhan kita kekal ke angka 6% setahun lebih baik daripada banyak negara yang ada di sekitar sini. Saya percaya, bahawa perdebatan sebegini rupa adalah bukti keterbukaan Kerajaan kita yang ada sekarang yang tidak mungkin diperoleh sewaktu Saudara Anwar menjadi Timbalan Perdana Menteri, satu ketika dahulu.

PERANTARA: Terima kasih Dato’ Ahmad Shabery. Demikian tadi saudara penonton yang saya hormati sekalian, berakhirnya Debat AgendaDaily dengan membawa tajuk ‘Hari Ini Bentuk Kerajaan, Esok Turun Harga Minyak’. Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Ahmad Shabery Cheek, Menteri Penerangan Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Penasihat Parti Keadilan Rakyat dan yang bersedia berdebat dengan isu ini. Kepada kedua-dua wakil pendebat Tan Sri Datuk Dr Nordin Kardi dan Saudara Zulkifli Sulong, saya ucapkan terima kasih. Semoga kita mendapat manfaat dengan pertemuan ini. Saya akhiri dengan Assalamualaikum, salam sejahtera dan selamat malam.

Posted by A Voice at 7/17/2008 11:00:00 AM

No comments: