Monday, July 4, 2011

PENJELASAN : PERJANJIAN 20 PERKARA SABAH

1. AGAMA :
· Walaupun tiada bantahan terhadap agama Islam sebagai agama kebangsaan Malaysia akan tetapi agama rasmi sepatutnya tidak diadakan di Borneo Utara, dan segala perundangan mengenai agama Islam yang terkandung di dalam Perlembagaan Malaya tidak harus digunakan di Borneo Utara.

2. BAHASA :
· Bahasa Melayu harus dijadikan Bahasa Kebangsaan Persekutuan.

· Bahasa Inggeris harus digunakan sebagai bahasa rasmi Borneo Utara untuk semua tujuan berkaitan dengan negeri dan persekutuan, tanpa had masa.

3. PERLEMBAGAAN :

· Walaupun Perlembagaan Persekutuan Malaya diterima sebagai asas untuk membentuk Perlembagaan Malaysia, akan tetapi Perlembagaan Malaysia seharusnya dipersetujui oleh pergabungan negeri-negeri bebas dan sepatutnya bukan sesuatu susunan pindaan kepada sebuah perlembagaan yang telah digubal dan dipersetujui oleh negeri-negeri yang berasingan di dalam keadaan yang berlainan sekali.

· Satu perlembagaan baru untuk Borneo Utara sewajarya amat diperlukan.



4. KETUA PERSEKUTUAN :
· Ketua ( Yang Di Pertua Negeri) Borneo Utara tidak layak untuk dipilih sebagai Ketua Persekutuan.


5. NAMA PERSEKUTUAN :
· “Malaysia” bukan “Melayu Raya”

6. IMIGRASI :

· Kawalan ke atas penghijrahan dari luar ke mana-mana tempat di Malaysia seharusnya terletak di bawah kuasa kerajaan pusat tetapi kemasukan ke Borneo Utara sepatutnya juga memerlukan persetujuan Kerajaan Negeri.

· Kerajaan Persekutuan tidak seharusnya berkuasa membatalkan kemasukan sesiapapun ke dalam Borneo Utara kalau ia berkaitan dengan urusan kerajaan negeri kecuali atas sebab-sebab keselamatan sahaja. Borneo Utara seharusnya mempunyai kuasa yang tidak terhad ke atas pergerakan seseorang kecuali mereka yang bertugas di bawah kerajaan Persekutuan daripada tempat-tempat lain Malaysia di Borneo Utara.


7. HAK MENARIK DIRI :
· Hak untuk memisah atau menarik diri dari Persekutuan seharusnya tidak wujud.

8. Proses untuk melantik orang-orang tempatan ke dalam perkhidmatan awam negeri Borneo Utara seharusnya diwujudkan secepat mungkin.

9. PEGAWAI-PEGAWAI BRITISH :

· Segala usaha harus dibuat untuk menggalakkan pegawai-pegawai British untuk meneruskan perkhidmatan mereka dalam perkhidmatan awam sehingga tempat mereka boleh diganti oleh orang-orang tempatan yang berkelayakan.

10. KEWARGANEGARAAN :

· Tertakluk kepada pindaan berikut, cadangan dalam Laporan Cobbold seharusnya menentukan hak kewarganegaraan penduduk Borneo Utara di dalam Persekutuan :-

i. Perenggan kecil (I) seharusnya tidak mengandungi syarat mengenai penetapan selama 5 tahun.

ii. Untuk penyelarasan dengan undang-undang kita, perenggan kecil (II)(a) sepatutnya menyatakan “tujuh daripada sepuluh tahun” dan bukan “lapan daripada dua belas tahun”.

iii. Perenggan kecil (II) tidak sepatutnya mengandungi sekatan berkenaan dengan kewarganegaraan ibu bapa seseorang yang dilahirkan di Borneo Utara selepas Hari Malaysia semestinya menjadi warganegara persekutuan.

11. CUKAI DAN KEWANGAN :

· Borneo Utara seharusnya mempunyai kuasa ke atas kewangan, tabung pembangunan dan cukai sendiri.

12. KEDUDUKAN KHAS BANGSA ASLI :

Pada prinsipnya bangsa asli Borneo Utara seharusnya menikmati hak keistimewaan seperti yang diberikan kepada bangsa Melayu di Malaya, tetapi formula yang dipraktikkan di Malaya masa kini tidak semestinya dapat digunakan di Borneo Utara.


13. KERAJAAN NEGERI :
· Ketua Menteri harus dipilih oleh ahli-ahli tidak rasmi Majlis Perundangan.
· Borneo Utara seharusnya mempunyai sistem menteri yang lengkap.
14. JANGKA MASA PERALIHAN :
· Sepatutnya tujuh tahun dan dalam masa ini kuasa perundangan mesti dibiarkan kepada Kerajaan Negeri mengikut perlembagaan dan bukan diamanahkan kepada Kerajaan Negeri oleh Kerajaan Persekutuan.
15. PELAJARAN :
· Sistem pelajaran yang wujud sekarang harus diteruskan dengan itu ia harus diletakkan di bawah kawalan Kerajaan Negeri.
16. PERLINDUNGAN KEPADA PERLEMBAGAAN

· Tidak ada sebarang pindaan, perubahan atau pembatalan dapat dilakukan oleh Kerajaan Pusat kepada perlindungan-perlindungan yang diberikan khas kepada Borneo Utara tanpa persetujuan kerajaan Borneo Utara. Kuasa ini adalah hak mutlak penduduk negeri ini.

17. PERWAKILAN DALAM PARLIMEN PERSEKUTUAN :
· Ini sepatutnya bukan sahaja bergantung pada jumlah penduduk Borneo Utara tetapi juga kepada keluasan dan keupayaannya, dan dalam mana-mana perkara ia sepatutnya tidak kurang dari jumlah perwakilan dari Singapura.

18. NAMA KETUA NEGERI : Yang Di Pertua Negara.
19. NAMA NEGERI : SABAH

20. TANAH, HUTAN, KERAJAAN TEMPATAN DAN LAIN-LAIN :
· Bekalan dalam Perlembagaan Persekutuan mengenai Kuasa Majlis Tanah Persekutuan tidak seharusnya melibatkan Borneo Utara seperti itu juga Majlis Kebangsaan Kerajaan Tempatan tidak melibatkan Borneo Utara.

· Dengan kata lain, tanah dan hutan Sabah adalah hak multak peribumi Sabah. Justeru, mengapa taukey-taukey yang berselindung di sebalik pelbagai nama seperti FELCRA, MESEJ, SDTME, BSSB dan sebagainya dengan begitu mudah merompak dan merampas Tanah Adat Milik puluhan ribu peribumi yang telah menerokanya sejak nenek moyang mereka lagi atau sejak ratusan tahun yang lalu. Jawapannya adalah, siapa yang menduduki takhta Jabatan Tanah Sabah?